DUNIA > BERITA

Perakam Data Penerbangan Pesawat Jeju Air Yang Terhempas Dihantar Ke AS Untuk Analisis

01/01/2025 05:54 PM

SEOUL, 1 Jan (Bernama-Yonhap) -- Kerajaan Korea Selatan pada Rabu memaklumkan bahawa perakam data penerbangan daripada pesawat Jeju Air yang terhempas akan dihantar ke Amerika Syarikat (AS) untuk analisis, menurut laporan Agensi Berita Yonhap.

Jadual tepat penghantaran perakam penerbangan itu akan ditentukan melalui perundingan dengan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) AS, lapor agensi itu, memetik taklimat daripada Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan.

Perakam penerbangan yang ditemukan sebelum ini daripada serpihan pesawat Jeju Air B737-800 di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan dilaporkan mengalami kerosakan luaran.

Bagaimanapun, pihak berkuasa telah selesai mengekstrak data daripada perakam suara kokpit, yang berada dalam keadaan lebih baik dan kini sedang menukar data itu kepada fail suara, menurut kementerian berkenaan.

Sementara itu, dua penyiasat tambahan daripada syarikat pembuat pesawat Boeing Co. telah menyertai siasatan di lokasi nahas pesawat Jeju Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, menurut sumber kerajaan.

Dengan penambahan ini, jumlah anggota pasukan dari AS meningkat kepada 10 orang, termasuk enam daripada Boeing dan tiga daripada NTSB.

Menurut sumber, pasukan dari AS menambah bilangan anggota untuk memastikan pemeriksaan menyeluruh terhadap kemalangan itu.

Pasukan itu tiba di Korea Selatan pada Isnin dan terus ke Muan untuk memulakan siasatan bersama dengan pasukan Korea yang diketuai oleh Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan pada keesokan harinya.

Semasa siasatan awal di lokasi, penyiasat memberi tumpuan kepada sistem navigasi yang membantu pendaratan pesawat, dikenali sebagai localizer.

Localizer yang dipasang pada struktur konkrit di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan itu didakwa memburukkan lagi tahap kecederaan dalam nahas pesawat Jeju Air.

Pada Ahad, pesawat Jeju Air B737-800 itu melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang tersebut dan meletup apabila ia merempuh struktur konkrit itu, mengorbankan 179 daripada 181 penumpang di dalamnya.

-- BERNAMA-YONHAP

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan