AM > BERITA

Mewajibkan Lesen Kawal Selia Media Sosial Pastikan Landskap Digital Lebih Selamat

30/12/2024 11:03 AM

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Keputusan kerajaan mewajibkan platform media sosial mendapatkan lesen kawal selia daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membantu negara melayari landskap digital dengan lebih selamat dan teratur.

Ketanpanamaan atau anonimiti dan kebolehcapaian yang disediakan oleh platform media sosial memudahkan pelaku jenayah memerangkap kanak-kanak dan menyebarkan kandungan eksploitasi. Statistik daripada Polis Diraja Malaysia mendedahkan peningkatan kes berkaitan yang membimbangkan setiap tahun, menekankan keperluan mendesak untuk kawalan yang lebih ketat.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia Dr Azian Muhamad Adzmi berkata kerangka pelesenan ini bukan hanya memastikan akauntabiliti, tetapi juga mewujudkan peluang untuk memperkasakan rakyat melalui literasi digital, seiring dengan usaha kawal selia dan turut menekankan keperluan pendekatan seimbang untuk menangani cabaran berganda, iaitu penipuan dalam talian dan maklumat salah sambil mengekalkan prinsip kebebasan bersuara.

"Hal ini bukan sekadar inisiatif kawal selia, ia menunjukkan hasrat Malaysia untuk menjadi peneraju serantau dalam tadbir urus digital. Perbandingan dengan rangka kerja antarabangsa, seperti Akta Perkhidmatan Digital Australia menggariskan perkaitan global bagi isu ini dan mencerminkan pendirian proaktif Malaysia," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata peranan literasi digital ialah satu lagi aspek penting dalam menyokong inisiatif itu, di samping memperkasakan rakyat dengan kemahiran celik digital juga sama penting, justeru kempen kesedaran awam, kerjasama dengan institusi pendidikan dan menggunakan semua saluran media yang ada untuk menyebarkan maklumat tentang kaedah mengenal pasti penipuan dan maklumat palsu perlu ditekankan bagi memastikan rakyat turut serta secara aktif dalam mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat.

"Kerangka yang dicadangkan ini, jika dilaksanakan secara telus dan inklusif dapat menjadi model kepada negara lain yang menghadapi cabaran sama, namun untuk berjaya, ia perlu menangani tiga perkara utama, iaitu memastikan garis panduan yang jelas dan adil bagi semua platform, menggalakkan kerjasama dengan pihak berkepentingan dalam industri teknologi dan melabur dalam literasi digital awam.

"Walaupun platform mempunyai tanggungjawab untuk menyederhanakan kandungan, namun kerajaan dan orang ramai juga mempunyai peranan dalam mewujudkan ekosistem digital yang kukuh. Keputusan Malaysia untuk merintis langkah berani ini boleh menimbulkan perbincangan global mengenai masa depan tadbir urus digital, menunjukkan bahawa kebebasan bersuara dan akauntabiliti dapat wujud bersama demi kebaikan masyarakat," katanya.

Azian berkata inisiatif ini juga bukan sekadar berkaitan penapisan, tetapi juga tentang akauntabiliti, kaedah menggunakan media sosial dengan betul dan bertanggungjawab dalam memastikan tiada lagi bahaya atau ancaman ketika melayari media sosial.

"Malaysia harus memastikan dasar ini inklusif, berpandangan jauh dan dapat disesuaikan dengan landskap digital yang berkembang pesat. Ia langkah ke arah yang betul dan boleh menetapkan keutamaan bagi kaedah pendekatan negara terhadap tadbir urus digital pada abad ke-21," katanya.

Seperti mana-mana landskap digital di seluruh dunia, Malaysia juga tidak terlepas daripada kelemahan, termasuk kes penangkapan seorang lelaki berumur 74 tahun yang merupakan antara 13 individu disyaki melakukan jenayah seksual dalam talian melibatkan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) semasa Op Pedo pada 23 Dis lepas.

Susulan itu, pada 25 Dis Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata polis dan MCMC meningkatkan usaha untuk mengesan individu yang memiliki, menyimpan serta mengedarkan bahan pornografi dan CSAM, justeru Op Pedo akan terus dijalankan secara berkala untuk membendung aktiviti itu selain kerjasama dengan MCMC untuk mengenal pasti dan mengumpul maklumat berkaitan.

Pendidikan awal, latihan kepada ibu bapa dan saluran laporan yang mudah diakses adalah penting untuk memperkasakan komuniti bagi melindungi kanak-kanak daripada ancaman bahaya dalam talian dan inisiatif pelesenen oleh negara selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.

Sebagai contoh, Australia mewajibkan platform media sosial untuk melaporkan aktiviti mencurigakan kepada Pesuruhjaya eKeselamatan manakala United Kingdom menumpukan kepada literasi digital melalui program kesedaran masyarakat, Amerika Syarikat pula menerusi National Center for Missing and Exploited Children, turut menetapkan penanda aras dalam langkah perlindungan kanak-kanak yang komprehensif.

Menyentuh mengenai isu keselamatan dalam talian bagi kanak-kanak, Ahli Kriminologi dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pascasiswazah), Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) Dr Haezreena Begum Abdul Hamid berkata mencegah peningkatan sebarang bahan penderaan atau penganiayaan seksual kanak-kanak bermula dari rumah, dengan ibu bapa sentiasa memantau aktiviti dalam talian anak-anak mereka.

"Tidak dapat dielakkan bahawa kanak-kanak kini aktif dalam talian, jadi selain memeriksa apa yang mereka lakukan atau layari, kita perlu mengingatkan kepada mereka agar tidak berinteraksi dengan individu tidak dikenali, sepertimana kita diberitahu oleh ibu bapa satu masa dahulu supaya tidak bercakap dengan orang asing di jalanan.

"Selain itu, ibu pada masa ini dilihat sering berkongsi gambar anak mereka di platform media sosial yang dikenali sebagai sharenting dan hal ini satu lagi fenomena membimbangkan, kerana ia mendedahkan kanak-kanak kepada bentuk bahaya yang tidak kelihatan, termasuk CSAM," katanya.

Beliau berkata kanak-kanak yang menjadi objek seksual atau terdedah kepada sebarang bentuk pornografi mempunyai risiko tinggi mengalami kesan emosi dan psikologi yang teruk, seperti kemurungan dan trauma.

"Kadang-kadang kanak-kanak yang menjadi mangsa mungkin menormalisasikan tindakan seksual terbabit kerana menyangkakan ia perkara biasa … mereka mungkin melihat seks sebagai ungkapan kasih sayang sedangkan sebenarnya ia bertentangan," katanya.

Haezreena Begum berkata walaupun Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dapat menghukum mereka yang melakukan CSAM, namun ia masih belum cukup untuk menangani isu terbabit secara menyeluruh.

Beliau berkata kemajuan kecerdasan buatan (AI) turut memburukkan keadaan kerana penjenayah CSAM dengan mudah menggunakan teknologi itu untuk berkomunikasi dan mendekati kanak-kanak yang tidak dikenali dan memujuk mereka, antara lain melakukan perbuatan seksual.

"Masih ada ibu bapa yang tidak mengingatkan atau mendidik anak mereka bahawa jenayah seksual termasuk pengantunan boleh terjadi dalam talian. Kita masih berpegang kepada pendekatan tradisional dan lupa bahawa bahaya juga berlaku dalam dunia maya.

"Sehubungan dengan itu, untuk ibu bapa dan kerajaan, perlu ada inisiatif kesedaran atau peringatan bukan sahaja kepada anak gadis, tetapi juga budak lelaki. Perkara yang paling penting ialah jangan bergaul dengan orang yang tidak dikenali," katanya.

Haezreena Begum berkata pihak berkuasa perlu mempertimbangkan pemberian kaunseling atau program pemulihan mandatori kepada mereka yang disabitkan kesalahan melakukan jenayah seksual dalam talian, khususnya CSAM.

Beliau berkata CSAM berpunca daripada obsesi tidak normal terhadap kanak-kanak yang jika tidak dikawal boleh mengancam masa depan generasi akan datang.

"Bagi menangani isu ini kita memerlukan pemantauan jangka panjang terhadap pesalah, sebagai contoh adalah tidak normal bagi seorang lelaki berumur 50 tahun tertarik secara seksual kepada kanak-kanak yang hanya berusia sembilan tahun.

"Perkara ini semestinya memerlukan perhatian serius daripada orang ramai … kita juga perlu melakukan pemantauan terhadap sebarang peluang untuk mereka melakukan kesalahan ini secara dalam talian," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan