Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
SEPANG, 30 Dis (Bernama) -- Di kala ramai memilih bekerja di pejabat, menjadi ahli korporat ataupun karier yang membolehkan mereka bergaya profesional, wanita ini meninggalkan dunia perbankan untuk bekerja sebagai jurusolek mayat,
Meskipun bidang ini tidak seglamor jurusolek pengantin, Aileen Ong tetap berbangga dengan kerja pilihannya yang turut melibatkan pengawetan dan lain-lain aspek berkaitan pengurusan mayat sejak 12 tahun lalu.
Berkongsi lanjut penglibatannya dalam bidang yang kurang dceburi oleh golongan muda itu, wanita berusia 41 tahun ini berkata minatnya terbit selepas melihat bagaimana jasad abangnya yang maut akibat kemalangan jalan raya tidak diuruskan dengan sempurna, sekali gus meninggalkan memori buruk buat dirinya.
“Ketika abang meninggal, saya berumur 13 tahun tetapi saya masih ingat apa yang dilakukan kepada mayat abang. Masa sembahyang tidak dibuat dengan elok dan dari segi solekan pula, walaupun abang baru berusia 19 tahun dia disolek seperti orang tua,” katanya ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.
Perkara itu menghantuinya selama bertahun-tahun, membuatkan dia nekad untuk berhenti kerja di sebuah bank selepas tujuh tahun dalam bidang itu, dan seterusnya mengambil kursus pendek dalam bidang pengurusan mayat.
Tidak berpuas hati dengan kemahiran yang diperoleh, Aileen mengikuti beberapa lagi kursus di luar negara termasuk di Jepun dan Filipina serta beberapa bengkel di Singapura dan Taiwan, mengambil masa keseluruhan dua tahun sebelum beliau berkeyakinan melangkah ke dalam bidang itu.
Bercerita tentang pengalamannya dalam industri yang diceburi sejak 2012 itu, ibu kepada seorang cahaya mata ini berkata kerjaya tersebut tidak semudah yang disangka, kerana selain menata rias mayat, beliau juga bertanggungjawab mengawet dan memastikan sebarang cela termasuk kesan luka dan jahitan tidak kelihatan.
Katanya, ini kerana misi utama jurusolek mayat ialah menutup aib individu yang telah meninggal dunia, agar tidak dijadikan bahan nista.
"Jasad harus diperlihatkan seperti sedang tidur. Andai kata mayat itu melalui proses bedah siasat dan jahitan kurang kemas, saya akan jahitkan semula dan kalau ada luka, saya akan litup kesan itu dengan bahan berasaskan lilin.
“Kalau tak mekap, muka akan bertukar hitam, biru atau ungu, menandakan proses pereputan sedang berlaku. Biasanya, proses pereputan berlaku dalam tempoh dua jam selepas meninggal dunia. Kalau tidak mekap, mungkin mendatangkan gosip, jadi tugas kami ialah melindungi si mati dan keluarga daripada dimalukan,” jelasnya, menambah perkhidmatan itu berharga RM580 hingga RM6,000.
Aileen yang menerima tempahan dari seluruh tanah air itu, berkata lazimnya hanya 15 minit diperlukan untuk menyolek mayat yang dalam keadaan sempurna, dan tambah beliau, teknik yang digunakan juga sedikit berbeza dengan solekan wajah orang hidup.
“Biasanya orang hidup kita akan guna produk berasaskan air atau toner sebelum mekap, tetapi pada jasad yang tidak bernyawa kita perlu guna minyak seperti minyak bayi dan zaitun sebagai pelembap.
“Apabila sudah mati badan tidak boleh hasilkan minyak lagi. Jadi, kulit sangat kering dan mudah luka. Oleh itu kita perlu guna minyak,” jelasnya, menambah keseluruhan proses menata rias mayat mengambil masa dua hingga sembilan jam, bergantung pada keadaan jasad.
Berkongsi insiden paling mencabar dalam kerjayanya, Aileen yang menguruskan mayat penganut Hindu, Kristian dan Buddha, berkata pengalaman mencari bahagian tubuh yang hilang antara yang sukar dilupakan.
“Dalam kes kemalangan maut, apabila saya berjanji dengan keluarga mendiang untuk 'restore’, bermakna saya perlu cantumkan semula bahagian tubuh yang putus. Dalam hal ini kami kena berhubung dengan polis, dan jika mereka belum jumpa bahagian yang putus itu, kami kena pergi ke tempat kejadian dan cari,” katanya yang menerima sekurang-kurangnya 60 mayat sebulan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial