KOTA BHARU, 30 Dis (Bernama) – Musim tengkujuh di Kelantan sering kali mengubah kehidupan mangsa banjir menjadi seperti ‘percutian wajib’ yang penuh ironi.
Setiap kali air mula naik, rumah terpaksa ditinggalkan dan pusat pemindahan sementara (PPS) menjadi destinasi check-in yang tiada pilihan.
Namun, ‘percutian’ ini bukan tentang keseronokan atau rehat, sebaliknya membawa kisah kehilangan, kesukaran, dan ketabahan berulang yang menguji kekuatan setiap mangsa saban tahun.
Seorang penduduk Mohd Norishamrey Muhammad Noor, 39, berkata dia bersama isteri dan tiga anak berulang-alik menjadikan PPS sebagai tempat bercuti, pada hujung dan awal tahun setelah terpaksa meninggalkan rumah dalam tempoh tiga hari atau seminggu berikutan rumah dinaiki air.
“Tahun ini dalam tempoh sebulan kami sudah dua kali berpindah ke PPS, mungkin selepas ini sekali atau dua kali lagi kami terpaksa berpindah ke sini sementara MTL belum tamat,” katanya kepada Bernama di PPS Sekolah Kebangsaan Kulim di sini, hari ini.
Mohd Norishamrey berkata walaupun banjir sedikit surut dan cuaca tidak hujan, dia tidak mahu terburu-buru pulang ke rumah kerana khuatir berlaku hujan lebat menyebabkan paras air terus naik.
Sementara itu seorang lagi penduduk Nik Loqman Ismail, 35, berkata mangsa di PPS seolah-olah sudah menempah masuk di PPS itu apabila berlaku hujan lebat berterusan dalam tempoh dua jam dan berlaku banjir.
“Sebaik hujan lebat dua jam, kami sekeluarga bersiap sedia berpindah, banjir semalam paras air di rumah saya setinggi paras paha manakala di kawasan luar rumah separas dada.
“Tambahan pula air naik cepat kerana rumah dan kawasan kampung kami terletak 200 meter daripada Sungai Kulim, menyebabkan kami terpaksa bercuti dalam tempoh tiga atau seminggu di PPS,” katanya.
Nik Loqman berkata kesan banjir pada gelombang pertama belum reda, namun mereka sekali lagi perlu berdepan dengan banjir semalam.
Sementara itu, mangsa banjir di dua PPS Machang dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing hari ini selepas banjir di daerah itu mulai surut pagi tadi, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang Ahmad Alfara Mohamad Zin.
Beliau berkata pemantauan pihak bomba di Sungai Temangan 9 pagi hari ini juga menunjukkan paras air sungai dalam trend menurun, manakala cuaca juga baik dan tidak berlaku hujan.
“Pagi tadi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan semua mangsa banjir dibenarkan pulang selepas makan tengah hari dan PPS ditutup hari ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial