AM > BERITA

Karnival Usahawan Cilik Generasi MADANI PTPTN Disertai 100 Murid

30/12/2024 09:24 PM

PUCHONG, 30 Dis (Bernama) -- Buat julung kalinya seramai 100 usahawan cilik daripada 20 buah sekolah di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, menyertai Karnival Usahawan Cilik Generasi MADANI PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), di Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Utama 3, hari ini.

Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata karnival sehari anjuran bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Puchong Utama 3 itu, merupakan inisiatif strategik bagi mengembangkan potensi keusahawanan dan membudayakan amalan penabungan dalam kalangan generasi muda.

“Karnival Usahawan Cilik Generasi MADANI PTPTN merupakan komitmen PTPTN dalam menyahut seruan kerajaan berteraskan konsep Malaysia Madani yang menekankan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

“Selari dengan objektif penubuhan Kelab Simpanan Pendidikan, karnival ini diharap dapat mempromosikan Simpan SSPN (Skim Simpanan Pendidikan Nasional) sebagai satu wadah penabungan melalui aktiviti keusahawanan,” katanya ketika berucap pada majlis penutup karnival berkenaan.

Norliza berkata karnival itu disertai murid dan guru yang mendaftar dengan Kelab Simpanan Pendidikan PTPTN dan mereka yang terlibat membuka pelbagai gerai jualan sepanjang karnival itu berlangsung.

“Selain gerai jualan, banyak aktiviti lain turut diadakan seperti Pertandingan Mewarna, Pertandingan Menyusun Puzzle dan Pertandingan Karaoke, malah PTPTN juga turut membuka kaunter promosi Simpan SSPN yang menawarkan pelbagai cendermata menarik bagi pembukaan akaun baharu atau penambahan deposit,” katanya.

Norliza berkata pihaknya juga akan menyalurkan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebanyak RM153,300 melalui Program Tabung Impian Kasih Simpan SSPN, khusus kepada ahli Kelab Simpanan Pendidikan di seluruh negara.

Beliau berkata sumbangan sebanyak RM100 akan disalurkan menerusi akaun Simpan SSPN Prime kepada 1,533 murid yang masih aktif sebagai ahli Kelab Simpanan Pendidikan pada tahun 2024.

Dalam pada itu, beliau berharap agar semua sekolah di negara ini dapat merebut peluang untuk berdaftar dengan Kelab Simpanan Pendidikan dan dapat menikmati pelbagai kelebihan disediakan. 

“Melalui Sahabat PTPTN, mereka akan menikmati Insentif Kelab Simpanan Pendidikan berjumlah RM1,000 secara sekali beri, tajaan sudut info sebanyak RM250 dan berpeluang menyertai Pertandingan Menabung Peringkat Sekolah dan Peringkat Nasional anjuran PTPTN,” katanya.

Norliza berkata PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penabungan melalui Simpan SSPN bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman.

“PTPTN yakin usaha ini akan disokong oleh semua pihak bagi merealisasikan visi PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembangunan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Datuk Wan Hashim Wan Rahim, Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid, Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional KPM Zulkernai Fauzi, Timbalan Pengarah Bahagian Sukan, Korikulum dan Kesenian KPM  Ahmad Haridan Mohammed.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan