AM > BERITA

Banjir Di Terengganu Dan Kelantan Semakin Pulih, Satu PPS Baharu Dibuka Di Johor

30/12/2024 10:34 PM

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Situasi banjir di Kelantan dan Terengganu semakin pulih dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) kian berkurangan namun di Johor situasi berbeza direkodkan apabila satu lagi PPS dibuka setakat 8 malam tadi.

Di KELANTAN, menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 573 orang daripada 178 keluarga malam ini yang ditempatkan di sembilan PPS berbanding 621 orang petang tadi.

Daerah paling terjejas adalah Tanah Merah dengan 571 orang daripada 177 keluarga masih ditempatkan di lapan PPS manakala dua lagi mangsa daripada satu keluarga masih berlindung di sebuah PPS di Kuala Krai.

Sementara itu, portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran mencatatkan paras Sungai Golok di Rantau Panjang masih berada pada paras bahaya dengan ketinggian 10.32 meter. 

Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri memaklumkan situasi banjir hampir pulih sepenuhnya apabila jumlah mangsa berkurang kepada 44 orang daripada 12 keluarga malam ini berbanding 238 orang petang tadi.

Kesemua mereka ditempatkan di PPS Masjid Kampung La dan Dewan Terbuka Kampung Belaoh, Besut.

Berdasarkan semakan di Portal Public InfoBanjir, paras air di dua stesen iaitu Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu dan Sungai Telemong di Kuala Ping (F1), Hulu Terengganu melepasi tahap amaran.

Sementara itu di JOHOR, satu lagi PPS telah dibuka di Kota Tinggi dengan jumlah mangsa terjejas meningkat kepada 26 orang malam ini berbanding 12 orang petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata PPS Dewan Kampung Baru Sungai Mas menempatkan 13 orang daripada tiga keluarga manakala PPS yang baru dibuka di Sekolah Kebangsaan Gambut pada 6.45 petang tadi menempatkan 13 orang daripada empat keluarga.

“Lima sungai di Johor kini berada pada paras waspada iaitu Sungai Muar di Segamat dengan bacaan 19.02 meter; Sungai Siku, Kulai (17.50 meter); Sungai Ulu Pontian Besar, Kulai (11.30 meter); Sungai Ulu Sedili Besar, Kota Tinggi (8.03 meter) dan Sungai Paya Dato’, Mersing (1.35 meter),” katanya dalam kenyataan malam ini.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan