Oleh Sakini Mohd Said
KUANTAN, 31 Dis (Bernama) -- Melabuhkan tirai tahun ini dengan pelbagai kejayaan, kerajaan negeri terus komited pada 2025 untuk bergerak membawa Pahang menjadi negeri berpendapatan tinggi sekali gus bakal mengangkat limpahan manfaat kepada rakyat.
Di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengemudi pentadbiran sejak Mei 2018, Pahang telah mencatatkan prestasi membanggakan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, sosial dan lain-lain sehingga menjadi antara negeri paling pesat membangun di negara ini.
Ia dibuktikan apabila selama tiga tahun berturut-turut sejak 2022, kerajaan Pahang berjaya mengekalkan momentum kutipan hasil negeri melebihi RM1 bilion dan untuk tahun ini setakat 16 Dis, kutipan hasil mencecah RM1.179 bilion atau 103.62 peratus daripada sasaran ditetapkan pada 2024, iaitu sebanyak RM1.137 bilion.
Perkembangan baik ini menyebabkan Wan Rosdy ketika membentangkan Belanjawan 2025 yang bertemakan "Prestasi Dipertingkat, Kemakmuran Dipertahan" pada 29 Nov lepas, tidak mahu lagi kutipan RM1 bilion sebagai angka sasaran, sebaliknya perlu dijadikan satu penanda aras yang harus dicapai dan diatasi setiap tahun.
Pencapaian hatrik berkenaan mendapat reaksi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia yang menyifatkan prestasi membanggakan itu jarang berlaku dalam pengurusan kewangan kerajaan negeri.
Malah, pakar ekonomi yang melihat prestasi positif ini mula meletakkan kedudukan Pahang ke dalam liga negeri besar di Malaysia seiring dengan Selangor, Johor serta Wilayah Persekutuan.
“Kalau dilihat pada rekod prestasi kerajaan negeri, kutipan hasil kerajaan Pahang meningkat saban tahun. Kerajaan Pahang hari ini telah berjaya memulihkan pentadbiran kewangannya jauh lebih baik daripada situasi sebelum kegawatan disebabkan kesan wabak COVID-19.
“Kejayaan untuk keluar daripada kegawatan pada 2021 dan melonjakkan ekonomi negeri Pahang cukup membanggakan sekali gus memberikan harapan baharu untuk menjadikan negeri ini membangun dengan deras,” kata Provos dan Dekan Institut Pengajian Siswazah, Malaysia University Science and Technology (MUST) Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai kepada Bernama.
Hakikatnya, pencapaian cemerlang Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu bukanlah kejayaan beliau secara individu, sebaliknya dibantu oleh 10 Exco dalam mengukuhkan dan menstabilkan ekonomi Pahang.
Pertumbuhan ekonomi negeri meningkat kepada 5.2 peratus mengatasi pertumbuhan pada peringkat nasional 3.6 peratus pada 2023 dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah RM64.9 bilion berbanding RM61.7 bilion pada 2022.
Dari sudut pelaburan misalnya, kerajaan negeri telah berjaya menarik pelaburan komited berjumlah RM16.1 bilion pada 2023 dan dengan penyataan statistik ini, jelas menunjukkan keyakinan pelabur terhadap potensi serta kestabilan di bawah pimpinan kerajaan Pahang.
Maka, tidak hairanlah apabila pentadbiran Pahang terus diiktiraf dengan diberikan Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Pahang bagi 2023 yang diumumkan oleh Ketua Audit Negara.
Semestinya, dengan kestabilan politik dan pengukuhan ekonomi ini akan dapat meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terutama dalam menjaga kebajikan mereka termasuklah pembangunan infrastruktur, perumahan mampu milik, kebajikan sosial mahupun pendidikan yang merangkumi semua peringkat lapisan umur, daripada bayi sehinggalah warga emas sekali gus memperlihatkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap keperluan rakyat.
Bantuan Prihatin Pahang (BPP) misalnya, yang disalurkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga hari ini hakikatnya, telah banyak membantu mereka yang terkesan dengan wabak terbabit dan untuk tahun ini sahaja, kerajaan Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM141.78 juta bagi tujuan berkenaan.
Selain itu, kerajaan negeri juga turut melaksanakan pemberian Juadah Makmur yang diagihkan kepada jemaah solat Jumaat di satu masjid di setiap Parlimen pada setiap minggu, dengan peruntukan RM8.5 juta yang bertujuan merapatkan hubungan serta berkongsi rezeki antara rakyat dengan kerajaan Pahang.
Dalam memastikan rakyat negeri ini memiliki rumah pula, kerajaan negeri telah melaksanakan pembinaan Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang diberikan secara percuma kepada golongan miskin dan miskin tegar, pembinaan Rumah Makmur berharga RM80,000, Rumah PRIMA Pahang (RM150,000) dan Projek Rumah Penjawat Awam Negeri Pahang (RPAP).
Seterusnya, keprihatinan kerajaan Pahang untuk menjamin kesejahteraan rakyat juga dapat dilihat apabila pelbagai kemudahan dibangunkan serta dinaik taraf seperti perkhidmatan bekalan air dengan peruntukan RM2.6 bilion yang akan dapat mengurangkan 90 peratus isu bekalan air menjelang akhir 2026.
Langkah ini juga termasuk pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang mencapai kemajuan 78.82 peratus setakat November serta pembinaan laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) menghubungkan Bentong ke Lipis telah mencapai 66 peratus kemajuan setakat Oktober tahun ini.
Biarpun kerajaan negeri memberi fokus jitu dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta pembangunan, kepentingan agama tidak dipinggirkan apabila RM162.53 juta diperuntukkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Pahang dan Jabatan Mufti Negeri Pahang.
Malah, komitmen kerajaan negeri untuk mengukuhkan agama bermula daripada rebungnya juga dapat dilihat apabila 25 cawangan Tadika Tahfiz negeri Pahang telah diwujudkan hingga tahun ini selain modul pendidikan tadika tahfiz telah diguna pakai di 4,000 Tadika KEMAS di seluruh negara.
Dengan pencapaian membanggakan itu, kerajaan Pahang turut mengukir kejayaan gemilang dalam bidang pendidikan apabila Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) menjadi institusi pendidikan terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dengan mencatatkan 1.07 Gred Purata Sekolah (GPS).
Semestinya, semua ini adalah manfaat daripada hasil diperoleh yang ditadbir sebaiknya kerajaan negeri dalam menjamin kebajikan sosial rakyat dan kerana itu, Pahang komited memastikan pencerobohan tanah ditangani serta dikenakan tindakan undang-undang tanpa kompromi bagi mengelakkan ketirisan hasil.
Sudah pastinya, bagi tahun yang akan mendatang ini, ranjau dan onak tidak terkecuali namun, berbekalkan semangat Prestasi Dipertingkat, Kemakmuran Dipertahan, tentunya kerajaan Pahang akan terus konsisten membawa kesejahteraan, kemajuan dan kemakmuran kepada rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial