MELAKA, 31 Dis (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM588,400 bagi tempoh 2021 hingga 2024 bagi membantu 181 nelayan yang menyertai Program myKomuniti Perikanan (myKP) Melaka.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata program myKP memberi bantuan khusus kepada nelayan bagi projek akuakultur, naik taraf kemudahan penghasilan produk perikanan dan melabuhkan unjam di kawasan pembiakan ikan.
“Selain itu, komuniti nelayan yang mempunyai lesen vesel dan peralatan menangkap ikan di bawah Jabatan Perikanan Melaka boleh membawa penumpang, namun perlu mendapatkan kelulusan daripada Pengarah Jabatan Laut.
“Jabatan Perikanan Melaka juga dalam perancangan untuk memberikan galakan kepada anak-anak nelayan yang berminat untuk menceburi bidang selam skuba dengan memberikan latihan dan lesen Open Water Diving Course dalam program pengukuhan komuniti nelayan menerusi peruntukan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Tuminah Kadi @ Mohd Hashim (BN-Pantai Kundor) yang ingin tahu mengenai langkah diambil bagi membantu nelayan di Pantai Puteri untuk menambah hasil pendapatan mereka susulan kegagalan melabuhkan tukun di kawasan terbabit sebelum ini.
Dr Muhamad Akmal berkata kerajaan negeri mewartakan kawasan perairan di sekitar Jasin sebagai Zon Industri Akuakultur bagi kebun kerang Melaka sebagai sumber pendapatan sampingan nelayan selain menangkap ikan.
“Peserta bagi 18 lot kebun kerang ini terdiri daripada nelayan setempat … terdapat juga rak-rak kupang di perairan yang sama yang diusahakan oleh nelayan negeri ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial