AM > BERITA

MPKu Kutip Hasil RM186.32 Juta Tahun Ini

31/12/2024 02:58 PM

KULAI, 31 Dis (Bernama) -- Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) mencatatkan kutipan hasil berjumlah RM186.32 juta tahun ini, sekali gus menjadikan ia kutipan tertinggi dalam sejarah pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Yang Dipertua MPKu Mohd Fahmi Salam berkata kutipan hasil itu meningkat 31 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM141.3 juta.

"Pencapaian ini merupakan hasil kerjasama daripada semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, kepimpinan tempatan dan masyarakat Kulai," katanya ketika berucap pada sesi mesyuarat Majlis di Dewan Persidangan MPKu di sini hari ini. 

Beliau berkata kutipan hasil pada tahun 2025 dijangka meningkat sejajar dengan permeteraian perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijadualkan bulan depan.

"JS-SEZ turut melibatkan kawasan Kulai sebagai salah satu daripada enam kawasan PBT yang terlibat. Pastinya limpahan pembangunan yang berlaku dijangka akan terus meningkat tahun depan," katanya. 

Mohd Fahmi berkata pembangunan projek utama kerajaan termasuk pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), peningkatan kapasiti Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, pastinya membantu mempercepatkan proses pembangunan di daerah ini.

Pada majlis itu turut berlangsung pelancaran akhbar pertama MPKu dan Inisiatif Transformasi Pendigitalan Cukai Harta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan