KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Pasar raya Ehsan Mart kini menawarkan enam lagi produk bersubsidi bagi memudahkan rakyat khususnya golongan B40 mendapat lebih akses kepada barangan asas pada harga lebih rendah.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Izham Hashim berkata produk baharu yang ditawarkan ialah sabun basuh, biskut, tepung, sardin, bihun, dan lampin pakai buang. Produk ini ditambah kepada senarai sedia ada yang meliputi beras, daging, ayam, minyak masak, dan telur.
“Tahun ini, jumlah produk diperluaskan kepada 12 dan boleh didapati di rangkaian Ehsan Mart serta melalui program Jelajah Ehsan Rakyat (JER).
“Harga yang ditawarkan adalah 15 hingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran,” katanya ketika merasmikan pembukaan pasar raya kedua Ehsan Mart di Pandan Utama, Pandan Indah.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Datuk Dr Mohamad Khairil Mohd Razi dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya Dr Ani Ahmad.
Selain itu, Izham berkata Ehsan Mart juga akan berperanan sebagai hab penyimpanan bagi Gudang Makanan Selangor untuk memastikan kelancaran rantaian bekalan makanan di negeri itu semasa berdepan situasi kecemasan.
Beliau juga memaklumkan pelaksanaan program JER telah menyaksikan pemberian subsidi bernilai RM12 juta yang memberi manfaat kepada lebih 4.5 juta rakyat menerusi program jualan di lebih 1,200 lokasi sekitar Selangor tahun lepas.
Sementara itu, Mohamad Khairil berkata penambahan jumlah produk itu antara lain mengambil kira permintaan dan keperluan masyarakat selain langkah membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
“Ehsan Mart bukan bertujuan komersial, tetapi sebagai inisiatif membantu rakyat serta memastikan sekuriti makanan dan kelestarian ekonomi tempatan,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, turut menyatakan bahawa pembukaan Ehsan Mart adalah kesinambungan daripada program JER yang dilancarkan oleh PKPS sejak Ogos 2022, untuk memberi akses kepada barangan asas pada harga berpatutan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial