AM > BERITA

Kerjasama Ranhill SAJ, Media Demi Kelestarian Bekalan Air Masa Depan

01/01/2025 10:09 PM

JOHOR BAHRU, 1 Jan (Bernama) -- Kerjasama antara pengamal media dan pemain industri air amat penting demi kelestarian bekalan air pada masa depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Sdn Bhd  Anuar Abdul Ghani.

Beliau berkata Ranhill SAJ sebagai syarikat pengendali air Johor akan terus memastikan hubungan erat dengan pengamal media dalam usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai sumber air yang terhad.

"Hebahan media mengenai pelaksanaan projek infrastruktur air, polisi penggunaan air serta inisiatif pemulihan dan pelestarian sumber air, memainkan peranan penting sebagai suara kepada masyarakat,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya media juga berperanan untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat mengenai kepentingan sumber air, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan air secara berhemah.

.Katanya pengurusan sumber air yang cekap dan mampan memainkan peranan penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta kemajuan ekonomi negara daripada bekalan air minuman hingga penggunaan dalam sektor perindustrian.

"Media cetak, elektronik atau dalam talian turut memainkan peranan dalam mendidik masyarakat serta memberikan maklumat tepat mengenai isu-isu berkaitan air, selain menyalurkan maklum balas untuk penambahbaikan dalam sektor pembekalan air,”katanya.

Terdahulu, Anuar menyampaikan bantuan kewangan kepada Pengarah Bahagian Program TV, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Abdull Hadi Mohd Yusoff di sini semalam.

Abdull Hadi, 58, yang menghidap kanser darah, pernah menjawat jawatan Pengarah Penyiaran Johor, Negeri Sembilan dan Sarawak sebelum ditempatkan di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi isterinya Norazlin Mohd Azman di talian 013-7470400.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan