ALOR SETAR, 3 Jan (Bernama) -- Produk berasaskan gamat dan herba adalah antara cenderamata istimewa disediakan buat delegasi Mesyuarat ASEAN 2025 yang akan bertandang ke Langkawi, Kedah pada pertengahan bulan ini.
Usahawan geoproduk Langkawi Zuliza Zainon yang diberi tanggungjawab mempersiapkan beg 'oleh-oleh' itu menyifatkan tanggungjawab tersebut sebagai peluang keemasan untuk mereka menonjolkan produk tempatan ke persada antarabangsa.
"Alhamdulillah atas rezeki dan kepercayaan diberikan kepada kami sebagai usahawan produk herba. Produk balsam jenama Mahsuri Gold yang berasaskan serai wangi, kayu putih, lemon dan gamat menjadi pilihan untuk diketengahkan kepada delegasi Mesyuarat ASEAN," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata produk balsam berasaskan herba dan gamat adalah antara buah tangan pilihan pelancong yang bercuti di pulau yang terkenal dengan lagenda Mahsuri itu, selain produk seperti coklat.
Mengulas lanjut Zuliza berkata produk balsam yang dijadikan cenderahati Mesyuarat ASEAN diisi dalam bekas kaca mini dan disusun kemas dalam kotak khas yang dilabel dengan khasiat produk tradisional berkenaan.
"Kami berharap produk tempatan yang dihasilkan dapat pergi lebih jauh selepas terlibat dengan acara berprestij seperti Mesyuarat ASEAN. Sudah tentu, kami akan terus melakukan yang terbaik bagi memastikan produk Langkawi terkenal di peringkat antarabangsa," katanya.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Datuk Haslina Abdul Hamid berkata penglibatan usahawan tempatan pada Mesyuarat ASEAN, diharap dapat membantu meningkatkan ekonomi pihak terlibat.
Beliau berkata LADA dan kementerian berkaitan turut membuat tempahan bekalan dan perkhidmatan daripada pembekal, usahawan, pemain industri dan komuniti setempat dalam perkhidmatan seperti katering, cenderamata dan aktiviti pelancongan bagi tujuan itu.
Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN bermula 1 Jan 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", yang mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.
Pemukiman Menteri Luar ASEAN yang pertama dijadualkan berlangsung di Langkawi selama dua hari bermula 18 Jan ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial