ALOR SETAR, 3 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengaktifkan Operasi GUARD dan menggandakan rondaan bagi mengesan baki pendatang asing tanpa izin dari Myanmar yang dilaporkan menuju ke Langkawi.
Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata tindakan itu diambil selepas mereka dimaklumkan terdapat dua bot membawa warga asing itu berada di laut, namun lokasi sebenar bot tersebut belum dikenal pasti.
Maklumat itu diperoleh selepas polis menahan 196 warga Myanmar di kawasan Pantai Teluk Yu, Langkawi pada 3.25 pagi tadi, selepas bot dinaiki mereka terkandas di perairan itu.
"APMM telah menggerakkan bot dan kapal ke lokasi pendaratan, membuat rondaan di perairan utara Langkawi dan kawasan sempadan negara serta mengatur gerak pesawat udara bagi pemantauan udara.
"Kita juga meningkatkan pemantauan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) bagi mengesan bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rosli berkata mereka juga berhubung dengan pihak penguat kuasa Thailand untuk mengetahui jika pergerakan dua bot tersebut dikesan pihak berkuasa negara berkenaan.
APMM meminta mereka yang melihat aktiviti mencurigakan di sekitar Langkawi untuk menghubungi talian 999 atau Maritim Rescue Sub Centre (MSRC) Langkawi di 04-9662750 atau 011-58925868.
Berdasarkan rekod, seramai 2,089 warga Myanmar ditahan APMM dan agensi penguat kuasa lain semasa cuba memasuki Malaysia dengan menggunakan 18 bot dari 2010 hingga tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial