AM > BERITA

APMM Selamatkan Harta Bernilai Lebih RM1.5 Bilion Sepanjang 2024

03/01/2025 04:49 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah mencatatkan lebih RM1.5 bilion bagi jumlah nilai harta yang diselamatkan dalam operasi menyelamat maritim sepanjang tahun lepas.

Dalam satu hantaran dimuat naik di Facebook, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata nilai itu mewakili 218 kes insiden di laut dan melibatkan 1,256 mangsa.

“Seramai 1,168 orang berjaya diselamatkan manakala 62 mangsa meninggal dunia dan 26 lagi hilang,” katanya hari ini.  

Sementara itu, APMM juga telah mencatatkan lebih RM91 juta bagi jumlah keseluruhan nilai tangkapan dan rampasan dalam operasi maritim yang dilaksanakan bagi tempoh sama. 

Saifuddin Nasution berkata sebanyak 50,783 penggeledahan telah dijalankan dan 1,271 tangkapan dibuat. 

Jumlah berkenaan merangkumi tangkapan dan rampasan nelayan asing (RM85 juta), diesel (RM1.3 juta), dadah (RM983,500), barangan terkawal (RM660,401), petrol (RM215,277), ketum (RM129,000), rokok (RM16,520) dan tangkapan serta rampasan lain-lain bernilai lebih RM2.6 juta.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terus menjadi benteng utama dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara.

“Kerajaan memberi jaminan bahawa usaha memperkukuh keselamatan sempadan laut akan terus dipertingkatkan demi kedaulatan negara dan kesejahteraan seluruh rakyat,” katanya. 

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan