AM > BERITA

Etiqa Bina Lebih 20 Tangki Air Bersih Untuk Manfaat Penduduk

05/01/2025 03:17 PM

KUALA KRAI, 5 Jan (Bernama) -- Sebanyak 22 tangki air bersih telah dibina untuk manfaat lebih 20,000 penduduk melalui Projek Bekalan Air Bersih Etiqa yang dilaksanakan sejak 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad Zafri Ab Halim berkata projek komuniti itu adalah satu daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Etiqa.

Beliau berkata program itu bertujuan meringankan beban penduduk setempat untuk mendapatkan bekalan air bersih yang berterusan sepanjang tahun dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia.

“Antara negeri yang telah menerima bekalan air bersih ini ialah Kelantan, Sabah, Kedah, Selangor, Perak, Sarawak, dan Pahang.

“Kami percaya bahawa akses kepada bekalan air bersih hak asas yang perlu dinikmati oleh setiap individu. Ini adalah langkah penting untuk memastikan keperluan asas penduduk luar bandar dipenuhi sekali gus membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih baik dan selesa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Air Bersih Etiqa di Kampung Bukit Budu di sini hari ini.

Zafri berkata sejak lebih 30 tahun penduduk Kampung Bukit Budu bergantung kepada sumber air bukit dari anak sungai berhampiran dengan menggunakan sistem air graviti yang dibina sendiri secara bergotong-royong.

Beliau berkata sistem itu tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah selain sering berlakunya kerosakan pada paip air lama yang mudah bocor.

“Melalui projek ini, ‘tandak’ air lama yang terletak di kawasan bukit berhampiran kampung telah dinaik taraf untuk mendapatkan kuantiti air yang lebih banyak serta tekanan lebih tinggi.

“Kami juga menggantikan paip lama yang rosak dan uzur dengan paip baharu untuk menyalurkan air yang telah dirawat ke rumah penduduk kampung,” katanya.

Beliau berkata projek ini menggunakan sistem graviti untuk menyalurkan air dari tandak melalui paip poli sepanjang kira-kira tiga kilometer dari muka sauk ke rumah pam.

"Air ini ditapis dan dirawat menggunakan sistem penapis air membran sintetik berskala tinggi sebelum disimpan dalam tangki simpanan berkapasiti 5,000 gelen," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan