AM > BERITA

JKR Tampin Ambil Langkah Segera Tangani Isu Keselamatan Di Gemas

06/01/2025 05:23 PM

TAMPIN, 6 Jan (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) Tampin, Negeri Sembilan, telah mengambil tindakan segera untuk menangani isu keselamatan pengguna jalan raya di kawasan jejambat (flyover) menuju ke Taman Sungai Gemas, Kuarters KTMB, Taman Gemas Indah, dan Gemas Golf Resort.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya mengambil langkah proaktif dalam menyelesaikan isu berbangkit khususnya membabitkan pengguna jalan raya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada JKR Tampin kerana berjaya menyelesaikan isu ini selepas ia dibahaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada November lalu.

“Keselamatan pengguna sudah menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya agensi di bawah kementerian,” katanya menerusi Facebooknya di sini hari ini.

Nanta juga merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas, Ridzuan Ahmad, atas maklumat berkaitan usaha JKR Tampin dalam memasang water barrier dan lampu blinker di kawasan jalan mendap bagi memastikan keselamatan penduduk, khususnya pada waktu malam.

Ridzuan, yang juga ADUN Perikatan Nasional (PN), menerusi hantaran di Facebook, turut menyampaikan penghargaan kepada JKR Tampin kerana mengambil tindakan terhadap isu jalan di flyover tersebut, yang merupakan satu daripada isu yang dibangkitkan dalam sidang DUN, baru-baru ini.

"Insya-Allah, kita doakan agar masalah jalan mendap, pencahayaan lampu jalan, dan landskap di bahu jalan (termasuk cantasan pokok) dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan