KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Wanita berusia antara 40 hingga 60 tahun, terutamanya yang menghidap diabetes, tiroid, Parkinson, atau kanser, sering menghadapi masalah bahu beku yang boleh mengakibatkan kehilangan pergerakan bahu secara berpanjangan jika tidak dirawat.
Pakar Bedah Ortopedik dan Trauma, Artroplasti serta Pembedahan Robotik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) Dr. Suresh George V Nainan, berkata kebanyakan kes bahu beku adalah idiopatik, iaitu puncanya tidak dapat dikenal pasti.
Namun, menurut beberapa kajian, pesakit diabetes mempunyai lebih daripada tiga kali ganda kemungkinan untuk mengalami kondisi ini berbanding mereka yang tidak menghidap penyakit tersebut.
“Ada situasi di mana seorang pesakit yang kelihatan seperti menghidapi bahu beku tetapi sebenarnya dia menghidapi penyakit kanser. Ini menekankan kepentingan mendapatkan diagnosis dan rawatan awal agar kondisi tidak menjadi lebih teruk.
Beliau turut menambah, “Faktor risiko lain termasuklah kekurangan mobiliti. Kecederaan kecil pada pergelangan tangan atau siku boleh secara tidak langsung menyebabkan bahu beku kerana kurangnya pergerakan.
“Adalah perkara biasa bagi pesakit yang memakai sling atau kas selama tempoh yang panjang untuk menghidap kondisi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata ciri utama bahu beku adalah keradangan pada sendi bahu, yang selalunya berlaku tanpa sebab yang jelas. Keadaan ini biasanya bermula dengan kesakitan dan kekakuan yang semakin teruk, akhirnya menyebabkan sendi bahu kehilangan keupayaan untuk bergerak.
Katanya keadaan ini berkembang melalui tiga fasa, iaitu fasa pembekuan yang berlangsung antara dua hingga sembilan bulan, fasa beku yang boleh berlanjutan selama empat hingga 12 bulan, dan fasa pelembutan atau pemulihan yang mengambil masa antara enam bulan hingga dua tahun.
Dr. Suresh George turut menekankan pentingnya diagnosis awal dan intervensi untuk mencegah kekakuan dan ketidakupayaan bahu bergerak dalam jangka masa yang lama.
“Diagnosis awal boleh memendekkan tempoh dan kesakitan bahu beku dengan ketara. Walaupun kebanyakan pesakit akhirnya akan pulih, intervensi awal dapat mempercepatkan proses pemulihan dan mengurangkan ketidakselesaan,” katanya.
Menurutnya, rawatan untuk bahu beku dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu rawatan konservatif yang merangkumi terapi fizikal, pengurusan kesakitan dengan ubat anti-radang, dan senaman untuk meningkatkan mobiliti bahu, manakala suntikan steroid diberikan untuk mengurangkan keradangan dan memudahkan pergerakan.
Katanya rawatan seterusnya adalah pembedahan yang mungkin dipertimbangkan untuk kes-kes yang sangat jarang berlaku jika kondisi berterusan melebihi 18 bulan.
Beliau berkata kekal aktif boleh mengelakkan keadaan tersebut, dan adalah penting untuk memulakan senaman bahu secara lembut secepat mungkin bagi mereka yang cedera atau selepas menjalani pembedahan yang menyebabkan tangan mereka tidak boleh bergerak.
Selain itu, katanya, senaman yang fokus kepada peregangan dan fleksibiliti boleh memberikan manfaat yang besar, antaranya yoga dan pilates, yang menggalakkan bahu bergerak bebas dan meningkatkan fleksibiliti, yang dapat membantu mengelakkan kekakuan yang berkaitan dengan bahu beku.
Katanya sebagai hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, SMC terkenal dengan standard tinggi dalam penjagaan kesihatan dan telah menganjurkan Simposium Ortopedik SunMed 2024, acara dua hari yang dihadiri oleh para profesional dalam penjagaan kesihatan, termasuk perunding pakar, pengamal am, jururawat, dan pengamal kesihatan bersekutu.
Beliau berkata simposium yang dianjurkan secara fizikal dan maya ini memberikan pandangan berharga mengenai kemajuan terkini dan amalan terbaik dalam rawatan ortopedik.
SMC muncul sebagai hospital swasta pertama di negara ini yang meraih akreditasi berprestij untuk hospital daripada Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Australia (ACHS), Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH), dan Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI), sekali gus mengukuhkan komitmennya untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia dan mematuhi standard tertinggi penjagaan dan keselamatan pesakit.
SMC juga dilengkapi dengan 28 Pusat Kecemerlangan yang menawarkan lebih daripada 60 kepakaran perubatan serta 724 katil berlesen, dengan kapasiti untuk menampung sekitar 1,100 katil apabila hospital ini melengkapkan pembinaan menara keenamnya, Menara F, menjelang suku keempat tahun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial