ALOR GAJAH, 12 Jan (Bernama) -- Pertandingan menghiasi kampung baru cina sempena sambutan Tahun Baru Cina mampu menjadi produk pelancongan negeri di samping medium mempamerkan kreativiti dan semangat kerjasama antara penduduk di negara ini.
Pengerusi Sekretariat Bahagian Kampung Baru Cina Malaysia Khoo Poay Tiong berharap pertandingan itu dapat menarik penyertaan daripada 613 kampung baru cina yang terdapat di seluruh negara terutama di lokasi menarik seperti di Melaka.
"Pada tahun lepas, sebanyak 50 kampung menyertainya dan diharap tahun ini jumlahnya meningkat kerana penyertaan masih dibuka manakala pemenang akan diumumkan selepas Tahun Baharu Cina," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Tanglung sempena Sambutan Tahun Baharu Cina di Kampung Baru Machap Umboo di sini malam tadi.
Khoo yang juga Ahli Parlimen Kota Laksamana berkata pada tahun ini beliau menjangkakan hiasan yang lebih kreatif akan dipamerkan penduduk kampung berbanding tahun lepas memandangkan 2025 ialah Tahun Ular mengikut kalendar lunar Cina.
"Tahun lepas, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menobatkan Kampung Baru Permai Machap Umboo sebagai juara dan meraih hadiah RM10,000. Jadi tahun ini, KPKT menyatakan ada kejutan dari segi hadiah utama dan untuk itu kita harap lebih banyak kampung menyertainya," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pertandingan berkenaan bukan sahaja memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina tetapi turut menjadi destinasi pilihan pelancong sekali gus membuka peluang masyarakat untuk mengenali kampung ini yang ada sesetengahnya mempunyai sejarah yang menarik.
Penasihat Kampung Baru Machap Umboo Datuk Yap Young Leong berkata hampir 15,000 tanglung pelbagai bentuk dan saiz yang dibuat daripada barangan kitar semula mula dipasang sejak minggu lepas bagi memeriahkan suasana sambutan Tahun Baru Cina yang diraikan pada 29 Jan.
Tradisi menghiasi kawasan itu masih mengekalkan konsep sama iaitu menggunakan barangan kitar semula seperti botol minyak masak, tin minuman dan hos pendingin hawa dan tahun ini penduduk telah menambah beberapa hiasan hasil kerjasama serta idea penduduk kampung.
"Harapan kita dapat menang pertandingan keceriaan anjuran KPKT itu sekali lagi dan dalam masa sama jumlah pelancong yang datang juga akan meningkat memandangkan tahun lepas kita menerima lebih satu juta pengunjung sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina.
"Lebih menarik, kita juga anjurkan pertandingan fotografi terbaik dengan hadiah utama sebuah motosikal. Pengunjung yang datang boleh menikmati keindahan serta kemeriahan kerlipan lampu, dan hiasan di sini termasuk permainan dam ular gergasi, mereka boleh menghantar gambar ke laman Facebook kami untuk menyertai pertandingan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial