AM > BERITA

TPM Fadillah Lancar MyEnergyStats: Perkukuh Data Terbuka Sektor Tenaga Negara

16/01/2025 04:27 PM

PUTRAJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini melancarkan portal MyEnergyStats, sebuah gerbang data terbuka sektor tenaga negara, menggantikan Malaysia Energy Information Hub (MEIH) yang telah beroperasi sejak 2012.

Beliau berkata portal baharu tersebut menawarkan ciri seperti infografik, visualisasi data, peta interaktif, dan pengumpulan data yang lebih sistematik. Portal ini juga dilengkapi dengan aplikasi mudah alih yang boleh dimuat turun oleh pengguna iOS, Android, dan Harmony OS.

Menurut Fadillah, portal yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) ini adalah instrumen penting yang menyediakan data dan analisis sebenar untuk merangka dasar tenaga dengan lebih strategik.

"Dengan akses kepada statistik yang terkini dan tepat, portal ini memudahkan pembangunan dasar yang berpandukan data dan seterusnya memastikan usaha peralihan tenaga yang lebih berkesan.

“Bagi pihak industri, portal ini menyediakan maklumat penting untuk membuat keputusan pelaburan strategik dan mengenal pasti peluang dalam peralihan tenaga serta teknologi baharu yang menyokong agenda hijau negara," katanya pada majlis pelancaran berkenaan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata MyEnergyStats menyokong penyelidikan dengan menyediakan data yang dapat menyumbang kepada penemuan baharu, bermanfaat untuk pembangunan tenaga negara dan global.

"Keutuhan maklumat dan data berkaitan tenaga amat penting dalam perancangan dasar dan pembangunan tenaga bagi menyokong usaha peralihan tenaga negara," katanya.

Beliau berkata ketersediaan dan ketepatan maklumat terus memberikan sumbangan signifikan dalam pembangunan model, perancangan, dan memastikan pelaksanaan penjanaan serta pembekalan tenaga secara holistik.

Beliau berharap pelancaran portal MyEnergyStats dan aplikasinya akan menggalakkan perkongsian maklumat dan kolaborasi yang lebih erat antara kerajaan, industri, dan masyarakat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan