KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) sentiasa komited untuk memberikan sokongan dan bantuan kepada bekas pelumba negara yang menghadapi kesulitan selepas bersara, namun ia bergantung kepada kemampuan badan induk berkenaan.
Presiden MAM Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata keputusan mengenai bantuan itu bukan diputuskan seorang diri, tetapi perlu melalui beberapa proses termasuk perbincangan bersama barisan komuniti.
“Sukan motor adalah sukan bahaya, jadi dengan ada persetujuan MAM, kita pastikan semua ada insurans. Jadi kalau apa terjadi, ada dana untuk hospital dan sebagainya. Kepada veteran atau mereka yang tidak lagi terlibat dalam sukan bermotor, kita akan lihat berdasarkan kes demi kes.
“Apa yang boleh saya beritahu, MAM pernah libatkan diri dalam usaha meringankan beban veteran sukan permotoran. Boleh berhubung dengan kita tapi kita tengok setakat mana boleh tolong sebab kita tiada dana khas atau jumlah yang disediakan setiap tahun untuk tujuan ini,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Malam Anugerah MAM 2024 di sini hari ini.
MAM turut memperkenalkan Jawatankuasa Pemilihan dan Penjurian yang dibentuk badan induk itu dengan panel profesional berpengalaman termasuk Tan Sri Azman Yahya, Datuk Razlan Razali, Datuk Rhiza Ghazi, Norismadi Abd Manap, Ronald Hogg, Alex Yoong dan tokoh terkenal lain dalam industri sukan bermotor.
Dalam sidang media sama, Mokhzani mengumumkan MAM kembali menganjurkan malam anugerah itu selepas enam tahun, dengan mempertaruhkan 22 kategori anugerah iaitu 11 anugerah prestasi untuk mengiktiraf sumbangan luar biasa dalam sukan bermotor Malaysia.
Beliau berkata anugerah yang akan diadakan pada 25 Februari di sebuah hotel di sini turut memperkenalkan tujuh anugerah pengiktirafan khas dengan tiga kategori dibuka untuk pencalonan awam, selain empat anugerah berkaitan media ditambah dalam senarai tahun ini.
“Insya-Allah, anugerah ini akan dianjurkan dengan kehadiran 750 tetamu termasuk semua peserta perlumbaan, organisasi, media dan lain-lain. Anugerah ini amat penting bagi MAM sebagai badan induk untuk meraikan kejayaan pelumba Malaysia.
“Ia membuktikan bahawa MAM telah memenuhi tugas yang ditetapkan oleh FIA (Persekutuan Automobil Antarabangsa) dan FIM (Persekutuan Motosikal Antarabangsa),” katanya.
Mokhzani berkata pihaknya berhasrat untuk menjadikan anugerah itu sebagai acara tahunan kerana liputan media yang luas akan membantu menarik lebih banyak tajaan untuk menyokong perkembangan sukan bermotor.
Orang ramai boleh mengemukakan pencalonan melalui borang dalam talian yang tersedia di platform media sosial MAM yang dibuka dari 19 hingga 31 Jan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial