KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) menggariskan tiga fokus sepanjang Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia dengan fokus pertama memastikan tiada sebarang peningkatan ketegangan yang berpotensi membawa kepada konflik serantau.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata fokus kedua adalah bagi memastikan ASEAN diangkat sebagai platform diplomasi terbaik dalam menguruskan sebarang cabaran serantau.
“Ketiga, kita akan menjadikan ASEAN sebagai peluang memperkemas pelbagai latihan, kerjasama serta diplomasi pertahanan di rantau ini dengan negara-negara anggota, negara-negara pemerhati dan rakan strategik ASEAN yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 Menteri Pertahanan di Wisma Perwira di sini, hari ini.
Malaysia secara rasmi mengambil peranan sebagai Pengerusi ASEAN bermula 1 Jan 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.
Antara acara utama di bawah MINDEF tahun ini ialah Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM Plus yang akan diadakan pada 17 hingga 21 Nov ini.
Mohamed Khaled berkata dalam konteks keamanan sejagat, penglibatan Malaysia dalam misi-misi keamanan sejagat dan pemeliharaan hak asasi di bawah panji-panji badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan diteruskan.
Beliau turut berhasrat membawa mesej penting mengenai sebarang penambahbaikan serta pemerkasaan misi-misi tersebut semasa penyertaan dalam UN Peacekeeping Ministerial 2025 di Berlin, Jerman pada 13 hingga 14 Mei ini.
“Kementerian Pertahanan akan memastikan segala pendekatan, persediaan, corak latihan serta keperluan aset yang bersesuaian untuk membolehkan penyertaan dan sumbangan berkesan Malaysia dalam misi-misi pengaman dunia diberikan perhatian yang sewajarnya.
“Komitmen ini dipasakkan pada kepercayaan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif mesti kekal menjadi suara dan kuasa penengah yang neutral, berprinsip dan tegas,” katanya.
Mohamed Khaled berkata MINDEF tidak boleh sekadar menjadi pemerhati pegun dalam perkara yang memberi kesan kepada kedaulatan negara terutamanya dalam menghadapi kedinamikan geopolitik hari ini yang berubah dan mencabar.
Ini menurutnya termasuk isu seperti konflik Rusia-Ukraine, perang dagang China-Amerika Syarikat, perubahan iklim, keterjaminan makanan, kemunculan teknologi disruptif, serangan ke atas Gaza, dan pelbagai perkembangan lain yang harus dianalisis dan dinilai dari perspektif pertahanan dan kesannya kepada negara.
“Sebagai pasukan barisan hadapan yang bertanggungjawab dalam segenap isu kedaulatan negara, MINDEF dan ATM mesti turut mempunyai keupayaan untuk menjadi suara lantang dalam memberi pencerahan serta pandangan konstruktif kepada kerajaan dari sudut pertahanan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial