AM > BERITA

Pantau Aktiviti Anak-anak Pada Musim Cuti Sekolah - Dr Wan Azizah

18/01/2025 01:51 PM

GEORGE TOWN, 18 Jan (Bernama) -- Ibu bapa perlu memantau aktiviti anak-anak khususnya pada musim cuti sekolah bagi mengelakkan mereka melakukan aktiviti yang tidak berfaedah secara fizikal mahupun dalam talian seperti aktiviti buli siber. 

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata terlalu banyak kes buli siber pada masa kini sehingga menyebabkan mangsa meragut nyawa sendiri. 

"Isu ini sangat penting dan masalah ini perlu ditangani sebelum ia merebak dengan lebih meluas," katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Kasih Malaysia dan Pertubuhan Wanita Mutiara serta Program Kembali ke Sekolah Bersama Anak-anak Pulau Pinang di sini hari ini. 

Beliau yang juga pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia) berkata, antara fokus pertubuhan itu adalah untuk membantu masyarakat dalam tiga bidang utama iaitu kesihatan mental, buli siber dan pendidikan.

Program anjuran Kasih Malaysia dan Pertubuhan Wanita Mutiara yang merupakan program bantuan persekolahan itu melibatkan pemberian bantuan berbentuk beg sekolah, alat tulis serta wang sumbangan kepada 300 orang pelajar sekolah rendah. 

Semua pelajar berkenaan terdiri daripada anak-anak yatim dan anak-anak tidak berkemampuan di Pulau Pinang yang telah dikenal pasti oleh Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Negeri Pulau Pinang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan