JIM Terengganu Tahan 15 Pendatang Tanpa Izin

18/01/2025 04:04 PM

KUALA TERENGGANU, 18 Jan (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu menahan 15 pendatang tanpa izin dalam Operasi Sapu dan Selera di sekitar tapak pembinaan kawasan industri Kertih, Kemaman semalam.

Pengarah berkenaan Mohd Yusri Mohd Nor berkata tangkapan melibatkan lelaki warga Bangladesh dan Indonesia yang berusia antara 21 hingga 50 tahun itu adalah atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi masa.

Beliau berkata dalam operasi itu, seorang pendatang tanpa izin warga Indonesia cuba bertindak agresif sehingga menyebabkan pergelutan dengan pihak penguat kuasa.

"Tangkapan dibuat hasil pemeriksaan ke atas 124 warga asing dalam operasi yang bermula 8 malam hingga 6 pagi semalam.

"Seorang warga Indonesia cuba bertindak agresif dalam usaha meloloskan diri sehingga berlaku pergelutan dengan anggota penguat kuasa. Namun lelaki itu berjaya diberkas dan tiada kecederaan dilaporkan di kedua-dua pihak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Yusri berkata kesemua pendatang tanpa izin berkenaan telah dihantar ke depot tahanan Imigresen Ajil untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan