AM > BERITA

Ahmad Zahid Cadang Penilaian Pihak Ketiga Untuk Inisiatif KKDW

18/01/2025 11:37 PM

GEORGE TOWN, 18 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menjalankan penilaian pihak ketiga untuk menilai keberkesanan setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh kementerian berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata cadangan itu bagi memastikan setiap tindakan yang diambil KKDW benar-benar memenuhi keperluan dan harapan rakyat. 

“Pendekatan kita harus sentiasa relevan dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kita harus berpaksikan kesejahteraan rakyat. Itulah sebabnya saya mencadangkan agar kita menjalankan penilaian pihak ketiga bagi menilai secara objektif keberkesanan setiap inisiatif yang kita laksanakan.

“Dengan ini, kita dapat memastikan setiap program menyentuh golongan sasaran dengan impak yang maksimum,” katanya ketika menyampaikan perutusan pada Majlis Makan Malam Permukiman KKDW 2025 di Teluk Bahang di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) Datuk Dr Shaik Hussein Mydin.

Ahmad Zahid juga menyeru KKDW agar terus memperhebat usaha Perkhidmatan Pasca-Penyerahan dalam setiap program pembangunan yang dijalankan. 

Mengambil contoh Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS), Ahmad Zahid berkata kementerian tidak boleh hanya membina rumah dan meninggalkan penerima begitu sahaja, sebaliknya kembali bertemu mereka dan bertanya tahap kepuasan penerima berkenaan.

Sementara itu, beliau turut menggariskan lima sasaran utama KKDW tahun ini bagi meningkatkan keberkesanan agendanya di mata rakyat dengan mengoptimumkan sumber dan memperkukuh perkhidmatan silang.

Beliau berkata ia termasuk terus membantu usahawan desa berkembang dan melonjakkan potensi usahawan desa untuk menembusi pasaran global serta meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 500 anak Orang Asli di negara ini menjejakkan kaki ke universiti berbanding 446 orang yang berjaya memasuki menara gading pada 2024.

“Ketiga, saya amat bersyukur Program Pra-Tahfiz KEMAS telah mendapat sambutan yang amat baik, tetapi kita tidak boleh berhenti di sini, justeru saya mahu kita memperluas usaha dengan mewujudkan program kesinambungan Pra-Tahfiz pasca-Tabika, agar anak-anak ini dapat meneruskan hafazan al-Quran walaupun telah memasuki sekolah rendah,” katanya sambil menambah telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkenaan hal itu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata beliau juga berhasrat untuk melihat agensi, seperti FELCRA memperkasakan lagi usaha melibatkan kepelbagaian produk pertanian terpilih supaya sektor pertanian desa berkembang menjadi tulang belakang kepada agenda keterjaminan makanan negara.

Seterusnya, beliau mahu KKDW merangka usaha bersepadu untuk menyelaraskan kekuatan pelbagai kementerian yang berkongsi agenda membangunkan masyarakat desa supaya dapat menembusi lebih banyak kawasan sekali gus memberikan bantuan lebih menyeluruh dan berkesan kepada masyarakat desa menerusi gabungan tenaga serta sumber.

Selain itu, Ahmad Zahid turut menekankan tiga asas utama Agenda Transformasi Desa untuk diperkukuh pada permukiman kali ini, antaranya memastikan rakyat mempunyai keperluan asas mencukupi, memastikan kemudahan asas terus menjadi tunjang kesejahteraan rakyat dan menggerakkan pembangunan sosioekonomi secara menyeluruh.

Pada majlis malam ini, Timbalan Perdana Menteri turut menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Wakaf Pulau Pinang Sdn Bhd (WPPSB) dan Perda Ventures Incorporated Sdn Bhd (PVISB) bagi projek pembangunan di atas tanah wakaf Lot 60, Mukim 11, Bayan Lepas dekat sini.

Ahmad Zahid menyifatkan usaha permulaan pelaksanaan pembangunan tanah wakaf dengan nilai keseluruhan mencecah RM170.1 juta itu sebagai satu program strategik berimpak tinggi yang mampu memberi manfaat besar kepada rakyat, khususnya di Pulau Pinang.

Sehubungan dengan itu, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Mohamad atas sokongan yang diberikan kepada PERDA, khususnya dalam merealisasikan pembangunan tanah wakaf buat kali pertama dalam sejarah (kerjasama dengan PERDA).

Usaha sama itu melibatkan projek pembinaan 510 unit pangsapuri rumah mampu milik dan 12 unit komersial di atas tanah berkeluasan satu hektar dengan nilai keseluruhan RM170.1 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan