Daripada D.Arul Rajoo
BRUSSELS, 19 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini pada Ahad untuk lawatan kerja dua hari ke Belgium, serta bertemu pemimpin Kesatuan Eropah (EU).
Pesawat yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Brussels pada 2 petang (9 malam waktu Malaysia, Ahad) dari London, setelah menamatkan lawatan kerja beliau ke United Kingdom.
Ketibaan Anwar di lapangan terbang itu disambut Duta Malaysia ke Belgium, Luxembourg dan Kesatuan Eropah Datuk Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak dan Timbalan Ketua Protokol Belgium Alain Schmitz.
Mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Terdahulu, Mohd Khalid Abbasi memberitahu pemberita bahawa lawatan Perdana Menteri ini dijangka membawa perkhabaran positif berhubung usaha untuk memulakan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang telah lama terhenti.
Rundingan bagi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) itu dilancarkan pada 2010, namun ditangguhkan pada 2012 susulan keraguan Malaysia terhadap dasar perolehan minyak sawit, subsidi dan klausa kemampanan EU.
Beberapa jam selepas tiba di Brussels, ibu kota de facto EU, Anwar akan menghadiri pertemuan dengan kira-kira 200 rakyat Malaysia yang menetap di Belgium dan Luxembourg.
Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Majlis Islam Belgium, satu-satunya badan pertubuhan rasmi Islam di negara itu.
Dalam lawatan sulung beliau ke Belgium sejak memegang jawatan pada Nov 2022, Perdana Menteri dijangka membincangkan isu perdagangan, krisis Timur Tengah dan Rusia–Ukraine, semasa pertemuan dengan pemimpin Belgium dan EU.
Pada Isnin, Anwar dijadualkan bertemu Perdana Menteri sementara Belgium Alexander De Croo untuk membincangkan mengenai hubungan dua hala Malaysia–Belgium dan meningkatkan kerjasama serta bertukar-tukar pandangan tentang isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Beliau kemudian akan bertemu pegawai tertinggi EU, bermula dengan Kaja Kallas, Wakil Tinggi EU bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan/Naib Presiden Suruhanjaya Eropah (HR/VP).
Ia disusuli dengan pertemuan empat mata antara Perdana Menteri dengan Pengerusi Majlis Eropah Antonio Costa untuk membincangkan kaedah mengeratkan hubungan Malaysia–EU dan kerjasama serantau.
Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri akan mengambil peluang melalui lawatan kerja ini untuk mengetengahkan keutamaan Malaysia dalam hala tuju Kepengerusian Malaysia yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Anwar akan mengakhiri lawatan beliau dengan menyampaikan ucaptama bertajuk Bridging Regions: Strengthening Southeast Asia-European Resilience di College of Europe (COE) bertempat di Bruges, kira-kira 98 kilometer dari sini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial