AM > BERITA

LZS Agih RM36.4 Juta Zakat Bagi Bantuan Persekolahan

16/01/2025 05:50 PM

SABAK BERNAM, 16 Jan (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan RM36.4 juta zakat kepada keluarga asnaf, fakir, miskin serta mualaf bagi sesi persekolahan tahun ini, meliputi bantuan yuran persekolahan dan kelengkapan peralatan persekolahan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Sarbini berkata agihan itu akan memanfaatkan seramai 70,000 pelajar, melibatkan 1,119 di peringkat prasekolah, 33,117 Sekolah Kebangsaan (SK), 7,790 pelajar Sekolah Rendah Agama dan 36,292 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Agama.

Beliau berkata bantuan yuran persekolahan akan diterima terus oleh ketua keluarga melalui akaun bank, V-cash atau tunai bermula Sabtu ini (18 Jan).

“Kadar minimum bagi bantuan yuran persekolahan yang akan diterima oleh setiap pelajar ialah Tadika atau prasekolah sebanyak RM100 seorang, SK atau Sekolah Rendah Agama sebanyak RM150 seorang, manakala bagi SMK atau Sekolah Menengah Agama mendapat kadar RM250 seorang.

“Manakala kadar maksima yang akan diterima daripada yang dinyatakan tadi adalah sebanyak RM1,200 bagi satu keluarga serta tambahan token keperluan dengan kadar maksima sebanyak RM800 satu keluarga berdasarkan tahap sekolah tanggungan isi keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Simbolik Agihan Bantuan Pendidikan Tahun 2025 LZS, di sini hari ini. 

Mohd Sabirin berkata bagi bantuan kelengkapan peralatan persekolahan pula pelajar SK akan menerima kadar bantuan sebanyak RM170 seorang, Sekolah Rendah Agama RM150 seorang manakala SMK atau Sekolah Menengah Agama RM200 seorang.

Beliau berkata setiap pelajar yang menerima bantuan tersebut diwajibkan membeli sepasang pakaian seragam sekolah dan selebihnya bebas untuk membuat penebusan peralatan sekolah lain seperti alat tulis, baju sukan atau pendidikan jasmani, baju ko-kurikulum, buku dan sebagainya berdasarkan syarat dan panduan yang telah ditetapkan.

“Penebusan bagi bantuan kelengkapan peralatan persekolahan ini boleh dibuat juga bermula Sabtu ini (18 Jan) sehingga 17 April.

“Untuk makluman, penerima bantuan di semua sembilan daerah boleh mengunjungi mana-mana pasar raya atau rangkaian kedai yang telah ditetapkan LZS bagi membuat penebusan kelengkapan peralatan persekolahan berdasarkan kadar bantuan yang diterima,” katanya.

Pada majlis hari ini, Public Islamic Bank Berhad (PICC) turut menyampaikan sumbangan agihan wakalah kepada 50 ketua keluarga terpilih dari daerah Sabak Bernam dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM22,500.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan