AM > BERITA

KTMB Tingkat Kawalan Rondaan Cegah Insiden Pencerobohan

31/01/2025 09:18 AM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) meningkatkan kawalan dan rondaan oleh anggota polis bantuan, terutamanya di kawasan titik panas, bagi mencegah insiden pencerobohan landasan pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Operasi KTMB Mohd Zain Mat Taha, berkata KTMB juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang di premis operasi syarikat.

“Langkah ini diambil bagi memperkasakan akta sedia ada dalam usaha membendung isu pencerobohan ini.

“Keselamatan penumpang dan operasi perkhidmatan kereta api sentiasa menjadi keutamaan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, merujuk kepada insiden yang berlaku pada Selasa lepas sehingga menyebabkan gangguan pada perkhidmatan KTM Komuter.

Beliau turut meluahkan rasa kesal terhadap insiden tersebut dan memaklumkan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Dalam kejadian itu, tren Komuter 2110 yang berlepas dari Stesen Jalan Kastam pada pukul 6.39 pagi terpaksa dihentikan selepas melanggar penceroboh di Kilometer 34.734 antara Teluk Pulai dan Klang. Insiden ini menyebabkan kelewatan melebihi 60 minit dalam operasi perkhidmatan komuter.

Seramai 200 penumpang yang terjejas dalam kejadian itu dibawa ke Stesen Klang dengan diiringi anggota polis bantuan dan kakitangan KTMB sebelum menaiki bas perantara yang disediakan ke Stesen Subang Jaya.

“KTMB sekali lagi memohon maaf atas kejadian ini dan mengingatkan orang ramai tentang bahaya menceroboh kawasan rel kereta api,” menurut kenyataan tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan