IPOH, 31 Jan (Bernama) -- Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta untuk tujuan projek pelebaran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata kos tersebut meliputi RM8 juta untuk fasa pertama dan baki RM52 juta untuk fasa kedua.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah meluluskan peruntukan ini, ia mimpi jadi kenyataan kerana telah dinantikan bertahun-tahun,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) di sini hari ini yang turut dihadiri Perdana Menteri.
Nga berkata Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) turut merizabkan sejumlah RM4 juta bagi pelaksanaan pelebaran jalan keluar masuk ke LTSAS.
Beliau berkata menerusi peruntukan itu, LTSAS dijangka mampu menampung kapasiti tidak kurang daripada 700,000 penumpang setahun berbanding 500,000 penumpang pada masa ini.
“Pada tahun lepas LTSAS menerima kira-kira 512,000 penumpang dan ini menunjukkan lapangan terbang ini telah mencapai tahap maksimum dan perkembangan ini dijangka mengangkat ekonomi Perak ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nga berkata dalam perancangan menaik taraf tersebut terminal kargo akan turut dibina di atas tanah seluas lebih 10 hektar tanah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) berhampiran lapangan terbang tersebut.
“Ia dijangka boleh membantu produk eksport ke negara seperti Singapura, Thailand dan sebagainya,” katanya.
Sebelum ini terdapat cadangan menaik taraf lapangan terbang berkenaan daripada kerajaan negeri bagi merancakkan industri penerbangan negeri sekali gus pemangkin kepada ekonomi negeri Perak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial