KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yakin Malaysia mempunyai keupayaan untuk membantu negara lain melalui misi kemanusiaan tanpa mengabaikan kebajikan rakyat.
Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid berkata sejak sekian lama, Malaysia mempunyai pengalaman yang baik dalam mengimbangi usaha menangani masalah yang dihadapi dalam negara, di samping menghulurkan bantuan kepada masyarakat antarabangsa.
“Kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah berjaya menjalankan pelbagai inisiatif kebajikan dalam negara, sambil tetap menghulurkan bantuan kepada negara lain dalam krisis.
“Contohnya, ketika pandemik COVID-19, Malaysia masih mampu membantu negara lain melalui misi kemanusiaan tanpa mengabaikan kebajikan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia akan menggerakkan usaha pembinaan sekolah, hospital dan masjid di Gaza sebagai usaha permulaan dalam membantu membangunkan semula kawasan berkenaan.
Mohd Azmi berkata usaha membantu Gaza membina sekolah sangat penting kerana kemusnahan infrastruktur yang dihadapi mereka merupakan satu keperluan mendesak berbanding dengan keadaan di negara ini, yang sistem pendidikan masih berfungsi.
“Walaupun sekolah luar bandar di Malaysia masih menghadapi cabaran seperti kekurangan infrastruktur dan kemudahan, keadaan ini jauh lebih baik berbanding di Gaza, yang kebanyakan sekolah telah hancur akibat serangan berterusan.
“Di Malaysia, pelajar masih mempunyai akses kepada bangunan sekolah, guru dan kemudahan asas sedangkan di Gaza banyak sekolah telah musnah sepenuhnya, menyebabkan ribuan pelajar kehilangan tempat belajar dan pendidikan mereka terhenti,” katanya.
Beliau berkata isu kemanusiaan sememangnya tidak mengenal sempadan, justeru Malaysia sebagai negara yang mendukung hak asasi manusia dan perpaduan umat Islam mempunyai tanggungjawab moral untuk membantu rakyat Palestin yang menderita akibat penindasan serta peperangan.
Malaysia juga mempunyai reputasi sebagai negara yang lantang memperjuangkan hak Palestin dan mengurangkan sokongan kepada Gaza boleh melemahkan pengaruh diplomatik Malaysia di peringkat antarabangsa, sekali gus menjejaskan hubungan dengan negara Islam lain.
Mohd Azmi berkata bantuan kepada Gaza tidak semestinya datang daripada dana kerajaan sahaja, sebaliknya banyak NGO dan individu yang bersedia menyumbang secara sukarela, sekali gus tidak akan membebankan ekonomi negara jika dilakukan melalui saluran yang betul.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial