Bomba Sarawak Kerah Anggota Tambahan Ke Bintulu

31/01/2025 08:24 PM

KUCHING, 31 Jan (Bernam) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak telah mengerahkan anggota tambahan dari Zon Miri dan Sibu ke Bintulu bagi memperkukuhkan operasi penyelamatan mangsa banjir di kawasan yang terjejas.

Timbalan Pengarah JBPM Sarawak Tiong Ling Hii berkata penambahan pegawai dan anggota adalah bertujuan untuk memastikan kerja-kerja menyelamat dapat dilaksanakan dengan lebih efisien serta meliputi skop yang lebih luas.

“Pasukan bantuan ini telah tiba di Bintulu sejak semalam untuk membantu pasukan sedia ada dalam operasi banjir yang sedang dijalankan,” katanya dalam hantaran Facebook JBPM Sarawak, hari ini.

Tiong berkata dengan pengukuhan pasukan penyelamat, jumlah keseluruhan anggota yang bertugas di kawasan banjir di Bintulu kini berjumlah 72 orang.

“Selain kekuatan anggota, pelbagai aset logistik seperti bot kecil, jentera, lori dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) turut digerakkan bagi memastikan operasi penyelamatan berjalan lancar. Keseluruhannya, sebanyak 23 aset logistik telah dikerahkan untuk menyokong operasi ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan