KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) perlu memainkan peranan untuk membantu menangani isu keciciran pelajar dalam pendidikan di seluruh negara, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.
Beliau berkata antara usaha yang boleh dilakukan termasuk mengadakan lawatan rumah ke rumah bersama pemimpin masyarakat, bagi mengenal pasti mereka yang berhadapan dengan masalah.
“Ramai yang tercicir sebenarnya, bukan sahaja di Wilayah Persekutuan tetapi di seluruh negara…yang tidak ke sekolah ini bukan kerana miskin, tetapi masalah sosial, masalah ibu bapa mereka, masalah keluarga mereka yang menjadikan pendidikan ini tidak penting bagi mereka.
“Kita harap GPMS memainkan peranan untuk memastikan bahawa semua murid mendapat pendidikan hingga ke Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ada yang sampai tingkatan tiga, tingkatan satu sahaja,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Tahlil dan Doa Selamat Sempena Ulang Tahun Ke-11 Alumni GPMS Kebangsaan, di sini hari ini.
Azman berkata selain itu, bagi keluarga yang tidak berkemampuan GPMS boleh membantu dengan memaklumkannya kepada Kementerian Pendidikan dan guru sekolah, supaya bantuan dapat diberikan bagi mengelakkan keciciran sehingga mereka tidak menduduki SPM.
Sementara itu, Presiden Alumni GPMS Kebangsaan Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata keciciran dalam pendidikan merupakan aspek yang diberikan keutamaan pihaknya, termasuk pendedahan pelajar kepada pilihan dalam bidang Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Insya-Allah dengan kekuatan yang kita ada, dengan tenaga-tenaga yang membantu kita, kita akan teruskan fokus pada keciciran tidak ke sekolah.
“Mungkin ada yang kurang dari segi pembelajaran. Kita tahu pelajar-pelajar kita sebahagiannya tidak berminat. Kita akan buat perbincangan awal dengan kaunselor sekolah untuk memberikan pendekatan tentang pentingnya TVET untuk masa depan mereka, termasuk beri pemahaman kepada ibu bapa,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan 10,000 pelajar tidak hadir bagi kertas Bahasa Melayu pada peperiksaan SPM 2024 manakala pada 2 Jan, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata kira-kira 10,000 pelajar masih belum mengesahkan kehadiran untuk peperiksaan SPM 2024.
Terdahulu pada majlis itu, seramai 120 warga emas, asnaf, Orang Kurang Upaya dan para pejuang pendidikan yang uzur dan ditimpa masalah kelangsungan hidup serta memerlukan bantuan kecemasan, menerima sumbangan kebajikan melalui kerjasama strategik dengan Yayasan Wilayah Persekutuan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial