AM > BERITA

LKIM Mahu Perbanyak Bot Nelayan Laut Dalam, Bantu Kekang Pencerobohan

02/02/2025 07:54 PM

BATU PAHAT, 2 Feb (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berhasrat memodenkan nelayan negara ini menerusi memperbanyakkan vesel bersaiz besar kelas C dan C2, dengan bot-bot yang beroperasi di laut dalam dapat membantu pihak berkuasa mengekang pencerobohan nelayan asing.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata kehadiran bot nelayan laut dalam tempatan di perairan negara mampu menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam usaha menangani isu berkenaan.

“Bagi saya, apabila di perairan itu kurang nelayan vesel besar, ia memudahkan pencerobohan serta ada sebahagian warga asing mengambil kesempatan. Pada masa sama kita akan memohon kerajaan menambah kekuatan aset bagi meningkatkan pengawasan dan kawalan perairan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Program MADANI Anak Nelayan Kembali Ke Sekolah di sini hari ini.

Sebanyak 100 pelajar daripada keluarga nelayan golongan B40 menerima bantuan beg sekolah dan baucar membeli barangan keperluan persekolahan dalam program berkenaan yang dilaksanakan dengan kerjasama Petronas.

Muhammad Faiz berkata para nelayan perlu menyokong industri ini dengan berani memodenkan vesel mereka menerusi pinjaman dan pihak LKIM akan membantu mempermudahkannya.

“Agrobank di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan menyediakan modal (pinjaman) untuk mereka melakukan perubahan ini,” katanya.

Kawasan penangkapan ikan zon C2 bermula 15 batu nautika daripada Pantai Barat Semenanjung Malaysia (Selat Melaka) dan 30 batu nautika daripada Pantai Timur Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak hingga ke sempadan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara.

Sementara itu, berkenaan bekalan ikan menjelang Ramadan dan Syawal, beliau berkata hasil laut negara dijangka mencukupi bagi memenuhi permintaan dan LKIM turut bekerjasama dengan pihak swasta seperti ketika musim monsun dan perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini yang menyaksikan bukan sahaja bekalan mencukupi bahkan harganya juga tidak melambung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan