TANJONG MALIM, 4 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus meneroka kerjasama pendidikan dengan pelbagai negara termasuk menfokuskan kepada usaha meningkatkan mobiliti pelajar antarabangsa ke Malaysia.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata berdasarkan kualiti dan ekosistem pendidikan tinggi serta kestabilan negara ini, sasaran 200,000 pelajar antarabangsa menyambung pengajian di Malaysia (mobiliti) mampu dicapai dalam tempoh beberapa tahun lagi.
"Tumpuan juga diberikan kepada mobiliti pensyarah dan penyelidik, kita juga menumpukan eksport pendidikan kita dengan menawar kursus serta kepakaran kita kepada luar negara melalui penubuhan korsotium pendidikan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Uzbekistan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi Sains dan Inovasi Republik Uzbekistan Konratbay Sharipov dan Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.
Zambry berkata Malaysia telah melaksanakan agenda mengantarabangsakan pendidikan sejak beberapa tahun lalu ke beberapa negara destinasi utama.
Beliau berkata kerjasama pendidikan tinggi Malaysia dengan negara-negara Asia Tengah termasuk Uzbekistan, tertumpu dalam bidang sains, teknikal dan bahasa.
Forum yang bertemakan "Uzbekistan-Malaysia: Opportunities and Initiatives for Achieving Sustainable Development Goals in Higher Education" ini merupakan pencapaian penting dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Dihadiri oleh Naib Canselor universiti tempatan dan swasta serta 28 Rektor universiti terkemuka Uzbekistan, forum ini turut menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU), Surat Hasrat (LoI), dan Letter of Agreement (LoA) antara institusi pendidikan tinggi dari Malaysia dan Uzbekistan.
Turut dihadiri para Naib Canselor universiti tempatan dan swasta serta 28 Rektor universiti terkemuka Uzbekistan, forum ini turut menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU), Surat Hasrat (LoI) dan Surat Perjanjian (LoA), antara institusi pendidikan tinggi dari kedua-dua negara.
Selain itu, forum ini juga menjadi saksi kepada penubuhan Konsortium Pendidikan Tinggi Malaysia-Uzbekistan (Malaysia-Uzbekistan Higher Education Consortium - MUHEC) yang diterajui oleh UPSI.
Konsortium ini akan menjadi platform strategik untuk menggalakkan mobiliti akademik, projek penyelidikan bersama, serta perkongsian amalan terbaik dalam pendidikan tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial