Ad Banner
 AM > BERITA

KPF Jalin Tiga Kerjasama Strategik Perkasa Ekonomi Hijau, Pertanian Dan Insurans

03/08/2025 08:37 AM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) hari ini memeterai satu perjanjian kerjasama strategik serta dua memorandum kolaborasi dengan tiga rakan industri, merangkumi sektor ekonomi hijau, pertanian dan insurans.

Langkah itu sejajar usaha memperkasa aktiviti ekonomi mampan selaras aspirasi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Dalam kenyataan hari ini, KPF memaklumkan perjanjian strategik dimeterai bersama Abra Tron Bradbury Sdn Bhd melalui penubuhan syarikat tujuan khas (SPV), Sustainable Future Sdn Bhd, bagi melaksanakan Projek Lestari Berimpak Tinggi.

“Projek ini menumpukan empat teras utama, iaitu pengurusan dan pemasaran kenderaan elektrik (EV), industri serta sistem pengurusan fleet; pembangunan tenaga boleh diperbaharui seperti ladang solar dan biogas; pengurusan sisa secara mampan; serta pembangunan sistem kredit karbon menerusi aplikasi pintar Karbonku,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh penglibatan warga peneroka dalam sektor pertanian berimpak tinggi, KPF turut menandatangani memorandum kolaborasi bersama Aqina Fruits Sdn Bhd bagi meneroka pelaksanaan projek penanaman nanas varieti MD2.

“Kerjasama ini dijangka merangsang penyertaan anggota koperasi dan peneroka FELDA dalam projek penanaman nanas berskala komersial,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, satu lagi memorandum dimeterai antara anak syarikat KPF, KPF Niaga Sdn Bhd dan Sejamas Group Sdn Bhd bagi tujuan promosi serta pemasaran Pakej Insurans MADANI.

Pakej insurans itu menawarkan perlindungan kenderaan kepada anggota KPF, termasuk nilai tambah seperti tawaran bateri percuma.

“Kesemua inisiatif ini mencerminkan komitmen KPF untuk berkembang secara mampan dan proaktif, selain menyokong agenda hijau, penglibatan komuniti dan pembangunan ekonomi anggota secara holistik,” katanya.

Majlis menandatangani perjanjian itu disempurnakan Pengerusi KPF Datuk Mohd Banuri Aris bersama wakil syarikat terbabit dan disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Acara tersebut diadakan  sempena Majlis Apresiasi Warga Peneroka di Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan