AM > BERITA

Malaysia Cipta Lebih 450 Pekerjaan AI Berkemahiran Tinggi Menerusi Kerjasama NAIO-GAIV

06/02/2025 07:11 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Lebih 450 peluang pekerjaan kejuruteraan kecerdasan buatan (AI) berkemahiran tinggi akan diwujudkan di negara ini menerusi kerjasama antara Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) dan Global AI Village (GAIV), kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata hasrat berkenaan disasarkan untuk dicapai dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

 “Inisiatif ini bukan semata-mata mengenai membawa masuk bakat global, tetapi juga untuk membangunkan bakat tempatan dan memastikan rakyat Malaysia terkehadapan dalam inovasi AI. Kita mahu membina generasi peneraju AI yang mampu bersaing di persada antarabangsa,” katanya berucap pada majlis pelancaran Makmal NAIO di sini hari ini.

Pelancaran makmal itu menandakan langkah penting kepada Malaysia dalam merintis usaha masa depan memandangkan penyelesaikan berasaskan AI bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi tetapi juga kemajuan sosial.

 Dengan menggalakkan kerjasama strategik antara kerajaan, pemimpin industri, akademia dan syarikat pemula, makmal berkenaan akan memacu inovasi AI, sekali gus memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju teknologi.

Makmal NAIO akan menjadi peneraju dalam pembangunan aplikasi AI yang berpaksikan rakyat dalam sektor utama seperti pertanian, penjagaan kesihatan dan pengangkutan.

Gobind berkata makmal itu merupakan elemen utama dalam visi Malaysia untuk menjadi hab AI global dengan pembangun AI dapat bekerjasama, menjalankan eksperimen, dan berinovasi untuk menghasilkan manfaat kepada negara.

Satu daripada pencapaian penting dalam usaha ini ialah pelancaran Rakan Tani, projek perintis yang diperkenalkan menerusi Makmal NAIO.

“Rakan Tani akan diusahakan di Terengganu dengan menumpukan kepada petani. Ia akan menguji keberkesanan perkhidmatan berasaskan AI seperti e-marketplace, cadangan input pertanian, dan penilaian kredit. Kami berhasrat untuk melancarkan fasa pertama dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang," katanya.

Gobind turut melahirkan keyakinan projek terbabit bukan sahaja memperkasakan petani, tetapi juga menjadi contoh untuk memperluas penyelesaian AI di seluruh negara.

“Meskipun pertanian adalah titik permulaan, Makmal NAIO akan segera diperluas ke sektor penjagaan kesihatan dan pengangkutan. Ini adalah bidang AI benar-benar mampu memberi impak dalam meningkatkan kualiti hidup dan memacu pertumbuhan digital," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan