AM > BERITA

PAT 2025: Pertandingan Arca Jerami Gergasi Antara Acara Menarik

07/02/2025 08:36 PM

KANGAR, 7 Feb (Bernama) -- Pertandingan Arca Jerami Gergasi, Pertandingan Wau Helang, dan Pertunjukan Layang-Layang Tradisional & Wau Moden antara acara menarik yang akan ditampilkan pada Pesta Angin Timur Perlis (PAT) 2025 di Kampung Lat Seribu, Tambung Tulang, Arau dari 21 hingga 23 Feb ini.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis Norazlin Nordin berkata penganjur menyasarkan 10 penyertaan bagi Pertandingan Arca Jerami Gergasi yang julung kali diadakan pada edisi ke-13 pesta itu, sekali gus menarik penyertaan peserta dari dalam dan luar Perlis.

“Penyertaan daripada pelbagai latar belakang antaranya IPTA (Institut Pengajian Tinggi Awam), syarikat swasta dan juga orang perseorangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazlin ketika mengulas mengenai Pertandingan Wau Helang dan Pertunjukan Layang-Layang Tradisional & Wau Moden berkata penganjur turut menjangkakan penyertaan 500 peserta akan mengambil bahagian dalam pesta yang berlangsung selama tiga hari itu.

Selain itu, beliau berkata pengunjung PAT 2025 juga berpeluang menyaksikan Pameran dan Pertunjukan RC Plane dengan melihat sendiri aksi akrobatik memukau kapal terbang yang dikawal secara jauh.

“PAT pada tahun ini melibatkan 10,000 peserta dalam lebih 42 acara yang dipertandingkan bagi merebut hadiah-hadiah menarik.

“Pertandingan ini bukan sahaja berjaya menarik perhatian masyarakat setempat, tetapi dari seluruh Malaysia dan negara jiran Thailand,” katanya.

Norazlin berkata Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dijangka berangkat merasmikan PAT 2025, selain Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

“JKKN juga bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menganjurkan aktiviti kenduri rakyat iaitu penyediaan makanan dilaksanakan secara bergotong-royong bersama penduduk setempat.

“Apa yang menariknya, makanan yang disediakan itu akan dijamu kepada lebih 4,000 orang pengunjung dan akan dinikmati serentak bersama-sama Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan