Ad Banner
 AM > BERITA

Pesta Angin Timur Perlis 2026 Tampil Kelainan, Mini Zoo Dalam Kota Jerami

07/02/2026 06:35 PM

KANGAR, 7 Feb (Bernama) -- Penganjuran Pesta Angin Timur (PAT) Perlis tahun ini menampilkan kelainan dengan membawa mini zoo dalam “Kota Jerami”, sekali gus menambah tarikan kepada pengunjung pelbagai peringkat umur.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis Shahrizal Abdan berkata pendekatan itu memberikan pengalaman lebih interaktif kerana pengunjung bukan sahaja dapat melihat arca jerami yang dipertandingkan di “Kota Jerami”, malah berpeluang mendekati haiwan kecil serta reptilia.

“Antara haiwan yang ditempatkan di kawasan berkonsepkan petting zoo (zoo haiwan jinak) itu ialah arnab serta beberapa spesies reptilia yang dibawa khas oleh pengendali mini zoo,” katanya kepada Bernama pada PAT Perlis 2026 di Dataran Kangar Jaya di sini hari ini.

Ad Banner

PAT Perlis 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam itu merupakan anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JKKN dan Kerajaan Negeri Perlis bagi mempromosikan keunikan budaya serta warisan negeri itu selaras usaha menyokong kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Shahrizal berkata kelainan itu diperkenalkan JKKN Perlis supaya “Kota Jerami” bukan sekadar pameran arca jerami dengan pelbagai reka bentuk kreatif tetapi menjadi ruang santai keluarga yang menggabungkan elemen pendidikan dan hiburan.

“Pertandingan arca jerami tahun ini melibatkan hampir 20 peserta dalam kalangan penduduk tempatan yang menampilkan pelbagai reka bentuk kreatif dan unik,” katanya yang turut memaklumkan ruang pameran arca jerami itu berkeluasan kira-kira 12×12 meter.

Beliau berkata “Kota Jerami” itu diuruskan dengan kerjasama Persatuan Pelukis Negeri manakala pengendalian mini zoo dibantu pengusaha haiwan eksotik dan reptilia.

“Inisiatif ini juga selaras dengan hasrat Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Rahimi Ismail yang mahu kelainan ditampilkan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke program kebudayaan di negeri ini,” katanya.

Shahrizal berkata penganjur turut menetapkan harga tiket serendah RM1 untuk masuk ke dalam kawasan “Kota Jerami” itu.

Sementara itu, seorang pengunjung, Jariah Che Ain, 56, dari Kampung Kok Klang, Chuping dekat Padang Besar berkata pameran arca jerami berkenaan membangkitkan nostalgia kehidupan di kampung.

“Bila tengok jerami ini teringat suasana kampung dulu, tapi sekarang orang lebih kreatif, masing-masing hasilkan arca yang menarik. Saya datang kali kedua dan memang seronok,” katanya yang juga seorang penjawat awam.

Penjawat awam Mohd Firdaus Ahmad, 34, dari Jitra, Kedah berkata beliau sanggup datang ke Perlis selepas mengetahui mengenai “Kota Jerami” melalui media sosial dan meluangkan masa ke program ini hari ini bersama keluarga.

“Dengan tiket cuma RM1, memang berbaloi datang bawa keluarga. Anak-anak pun seronok sebab boleh tengok haiwan seperti kambing, ular dan macam-macam lagi selain tengok arca jerami orang-orang sekali,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan