AM > BERITA

Johor Penyumbang Terbesar KDNK Sektor Pertanian Negara - Onn Hafiz

08/02/2025 07:29 PM

JOHOR BAHRU, 8 Feb (Bernama) -- Johor menjadi penyumbang terbesar pertanian negara setakat ini dengan sumbangan RM17.21 bilion atau 17.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sektor berkenaan, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus komited memperkasakan Johor sebagai ‘bakul makanan’ negara dan juga di peringkat antarabangsa yanag akan direalisasikan dengan meningkatkan pengeluaran produk agromakanan serta merancakkan aktiviti eksport hasil pertanian ke pasaran global.

"Kita dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memberi tumpuan khusus terhadap bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) khususnya bagi tanaman nanas, kelapa, durian, pisang serta betik, dalam usaha memastikan prestasi pengeluaran hasil terus meningkat," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Onn Hafiz berkata pertemuan dengan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup telah diadakan bagi membincangkan hala tuju pembangunan sektor pertanian serta keterjaminan makanan di Johor.

"Kita juga telah memperuntukkan RM18.48 juta tahun ini untuk pelbagai inisiatif pembangunan pertanian melibatkan kerjasama dengan agensi utama termasuk Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Johor Biotech, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan FarmByte.

"Kerajaan negeri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang telah memperuntukkan lebih RM21 juta dalam Belanjawan 2025 melalui KPKM kepada Johor bagi mempergiat usaha dan program berkaitan keterjaminan makanan," katanya.

Pada masa sama, beliau yakin usaha berterusan ini bukan sahaja akan menjadikan Johor sebagai hab pengeluaran agromakanan utama, malah mampu meningkatkan pendapatan petani dan pengusaha, serta memastikan keterjaminan makanan yang lebih baik untuk Bangsa Johor dan negara, dengan kerjasama dan sokongan KPKM.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan