AM > BERITA

Pasangan Suami Isteri Buka 'Bustana Kucing' Untuk Kebajikan Kucing Terbiar

10/02/2025 05:39 PM

KANGAR, 10 Feb (Bernama) -- Bermula dengan memelihara kira-kira 150 kucing di rumah, akhirnya ia mendorong pasangan suami isteri membuka pusat perlindungan kucing terbiar yang kini menempatkan lebih 2,000 ekor haiwan itu, dikenali ‘Bustana Kucing’.

Mohd Taufik Md Zain dan Noor Azlina Abu Bakar masing-masing berusia 59 tahun, mengambil inisitiaf membuka pusat perlindungan itu sejak 2015 dengan menyewa kawasan dalam Taman Ular dan Reptilia Perlis di sini.

"Kami menerima kucing dari seluruh negara sama ada kucing terbiar atau dihantar pemiliknya atas pelbagai alasan, selain ada dikutip sendiri atau yang memerlukan rawatan. 

"Ada kalanya orang terpaksa menghantar kucing atas faktor tertentu dan kami terima sahaja. Selalunya waktu cuti sekolah adalah tempoh ramai akan menghantar kucing," katanya ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.

Mohd Taufik selaku pengurus Bustana Kucing berkata caj RM50 dan RM100 bagi kucing bunting dikenakan terhadap pemiliknya untuk diletakkan dan dijaga sepenuhnya di situ sebagai dana kebajikan haiwan berkenaan.

Beliau berkata pusat perlindungan itu mempunyai kemudahan lengkap bagi memastikan kebajikan kucing terus terjamin selain mereka juga memperoleh lesen dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada 2023. 

“Bustana Kucing mempunyai 26 pekerja sepenuh masa yang membahagikan tugas mengurus kucing termasuk membersihkan sangkar setiap hari dari 9 pagi hingga 12 tengah hari. 

"Pusat perlindungan ini beroperasi setiap hari kecuali pada dua hari raya utama, namun pekerja tetap memastikan kebajikan kucing terjaga walaupun pada hari cuti,” katanya.

Selain menggunakan duit sendiri untuk menampung kos termasuk belanja makanan sehingga RM13,000 sebulan dan ubat-ubatan berjumlah RM9,000, Mohd Taufik berkata orang ramai turut membantu menderma wang serta makanan kucing.

Mohd Taufik berkata pengunjung Taman Ular dan Reptilia Perlis boleh melawat Bustana Kucing dengan menggunakan tiket memasuki taman ular itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan