AM > BERITA

APM Guna MWFS, Agih Lebih 16,000 Liter Air Di Kawasan Terjejas

11/02/2025 07:27 PM

IPOH, 11 Feb (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Hilir Perak menggunakan Sistem Penapisan Air Mudah Alih (MWFS) digunakan buat kali pertama bagi menapis air untuk diagihkan ke beberapa kawasan mengalami gangguan bekalan air di Perak.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hilir Kapten Mohd Affindi Ishak berkata mesin yang diperoleh daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM) itu telah menapis lebih 16,000 liter air dari Sungai Perak dan beberapa tali air di kawasan terlibat, sejak semalam.

"Mesin air ini boleh menghasilkan 2,000 liter air dalam masa sejam dan sejak semalam, ia beroperasi bermula dari tengah hari hingga 12 tengah malam. 

“Jumlah air ditapis kira-kira 16,000 liter yang kita agihkan di kawasan terjejas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata lapan anggota terlibat dalam operasi dijalankan sejak semalam dan menyalurkan bantuan awal bekalan air sehingga lori tangki dari Lembaga Air Perak tiba.

"Setakat hari ini, air yang ditapis telah diagihkan membabitkan kawasan di sekitar Taman Maharani, Jalan Maharajalela dan Kampung Pengkalan Ara, Chenderong Balai serta beberapa kampung di Langkap," katanya.

Semalam Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memaklumkan lebih 50,000 pengguna terjejas susulan gangguan bekalan air membabitkan Jalan Tapah, Changkat Petai, Tanjung Keramat, Air Kuning, Sungai Kroh, Kampung Tersusun Air Kuning, Chenderong Kelubi, SMTD, Jalan Temoh Station, Temoh dan kawasan sekitarnya.

Gangguan bekalan air itu dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran paip air mentah dari Intake (muka sauk) Batu 7 Sungai Woh yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh, sejak 4 Feb lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan