KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menyeru tindakan kolektif daripada semua pihak untuk menangani isu-isu yang mendasari kepada kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024, yang kekal seperti tahun sebelumnya.
Naib Pengerusi Kanan MCPF Datuk Seri Ayub Yaakob berkata semua pihak berkepentingan, termasuk agensi kerajaan, masyarakat sivil dan sektor swasta perlu bersatu padu dalam usaha memerangi rasuah.
"Kita perlu bekerjasama untuk mewujudkan sistem yang telus dan berakauntabiliti yang mengutamakan kepentingan rakyat. Kerajaan telah berusaha keras untuk memupuk budaya integriti melalui program pendidikan dan kempen kesedaran awam.
“Yayasan menekankan komitmen bersepadu terhadap integriti dan tadbir urus beretika adalah penting untuk memperbaiki kedudukan Malaysia dalam CPI pada masa depan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ayub berkata MCPF mengesyorkan supaya lebih tumpuan diberikan kepada strategi dan usaha pencegahan berbanding memberi fokus yang terlalu banyak kepada penyiasatan.
"Kami percaya strategi pencegahan yang berkesan akan membantu memperbaiki keadaan semasa. Pencegahan perlu diutamakan di semua peringkat kepimpinan sama ada dalam sektor awam atau swasta, masyarakat sivil dan komuniti," katanya.
Selain itu, MCPF turut mencadangkan agar peranan beberapa agensi seperti Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dan Transparency International Malaysia perlu lebih telus dalam berkongsi hasil dapatan dan syor mereka.
Kedudukan Malaysia dalam CPI 2024 yang diumumkan semalam kekal di tangga ke-57 secara global, sama seperti 2023.
CPI diterbitkan setiap tahun, mengukur tahap persepsi rasuah sektor awam di 180 negara di seluruh dunia.
Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia menduduki tempat kedua terbaik selepas Singapura, diikuti Vietnam, Indonesia, Thailand, Filipina, Laos, Kemboja dan Myanmar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial