HULU LANGAT, 17 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius isu berkaitan kelewatan pembinaan sekolah dan sedang memantau rapi perkara itu kerana dikhuatiri akan memberi kesan langsung terhadap komuniti pendidikan secara keseluruhan.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata lebih membimbangkan adalah apabila projek-projek berkenaan diisytiharkan sebagai projek sakit.
“Jadi memang pemantauan ketat dilakukan di peringkat kementerian kerana pembinaan sekolah ini beri kesan besar. Hal ini turut ditegaskan oleh Ketua Setiausaha Negara berulang kali supaya projek-projek yang terkait rapat dengan institusi pendidikan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi, Semenyih sempena pembukaan hari pertama persekolahan bagi sesi 2025/2026 hari ini.
Berikutan itu Fadhlina berkata KPM melaksanakan pelbagai intervensi khususnya kontrak proses kerja.
“Komitmen Kerajaan MADANI sebenarnya cukup besar apabila banyak projek sebelum ini tidak dapat disiapkan, jadi kita ambil alih dengan komitmen dan pendekatan baru dalam memastikan sekolah dapat dibina mengikut tempoh masa.
“Tanggungjawab ini cukup besar dan kita akan memastikan semua agensi yang terlibat dalam pembinaan sekolah ini memberikan komitmen sepenuhnya,” katanya.
Fadhlina berkata antara langkah intervensi yang dilakukan oleh kementerian termasuk membina kelas-kelas kabin bagi mengatasi isu kelas yang tidak kondusif (sekolah padat).
Sementara itu Pengarah Pendidikan Selangor Dr Jafri Abu berkata KPM menyediakan kelas kabin jenis Sistem Binaan Berindustri (IBS) sebagai langkah jangka pendek untuk menangani isu sekolah padat.
“Untuk Selangor, ada 95 sekolah melibatkan 301 bilik darjah, dengan nilai peruntukan RM69 juta,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial