AM > BERITA

Pesawah, Petani Dan Penternak Terjejas Di Perak Terima Bantuan TBTP, TBP

17/02/2025 02:58 PM

BAGAN SERAI, 17 Feb (Bernama) -- Seramai 702 pesawah dan petani di Perak yang terjejas akibat banjir dan kemarau tahun lepas menerima bantuan daripada kerajaan menerusi Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) berjumlah lebih RM812,081 bagi meringankan beban mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata bagi 110 petani dan penternak bagi sub sektor tanaman makanan, ternakan dan akuakultur pula, peruntukan RM1.411 juta disediakan bagi mereka melalui Tabung Bencana Pertanian (TBP).

Beliau berkata bantuan itu disalurkan melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), dikreditkan terus ke dalam akaun pesawah terlibat.

“Kerajaan negeri amat prihatin dengan nasib yang menimpa golongan pesawah dan petani terutamanya mereka yang terjejas, dan melalui Jabatan Pertanian Negeri Perak kita telah mohon peruntukan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). 

“Dalam usaha membantu meringankan beban yang ditanggung, kerajaan memperuntukkan bantuan berjumlah lebih RM2.223 juta melalui LPP kepada 812 pesawah dan petani seluruh Perak yang terjejas akibat bencana ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan TBTP Perak Zon Kerian di Dewan Komuniti Bagan Serai di sini. 

Mohd Zolkafly berkata sawah yang terjejas melibatkan kawasan seluas 778.15 hektar seluruh negeri Perak merangkumi daerah Hilir Perak, Kerian serta Perak Tengah, dan 76 hektar kawasan melibatkan petani di sembilan daerah. 

"Paling terjejas teruk di daerah Kerian, melibatkan 465 pesawah mengusahakan kawasan jelapang padi seluas 470.93 hektar, dan peruntukan bantuan yang diluluskan berjumlah RM412,534.

"Saya menyeru mana-mana pesawah atau petani yang terjejas akibat banjir, kemarau atau ribut segera maklumkan pejabat pertanian terdekat agar permasalahan terbabit dapat diambil tindakan segera," katanya. 

Beliau berkata kerajaan negeri melalui jabatan pertanian akan terus berusaha untuk meningkatkan daya tahan sektor pertanian termasuk memperkenalkan langkah mitigasi bagi menghadapi perubahan iklim dan bencana alam yang semakin mencabar. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan