ARAU, 17 Feb (Bernama) -- Sesi baharu persekolahan 2025/2026 bagi negeri Kumpulan B yang bermula hari ini sangat bermakna kepada pasangan kembar tidak seiras Haura Aaisyah Hasanuddin dan adiknya Haura Awleeya yang merupakan murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Jelempok di sini.
Ibu mereka Hazwani Izzati Harun, 31, berkata mereka begitu teruja untuk memulakan sesi persekolahan di sekolah, sehingga tidur awal malam tadi untuk memastikan kekal bersemangat datang ke sekolah pada pagi ini.
Hazwani Izzati berkata lebih menarik lagi kedua-dua anak perempuannya itu dapat berada dalam satu kelas yang sama dan mendapat tempat duduk bersebelahan antara satu sama lain.
“Mereka sebelum ini bersekolah di tadika bersama, malah sekelas. Hari ini pengalaman baharu buat mereka kerana melihat suasana sekolah yang lebih besar dan ramai murid. Saya juga pernah bersekolah di sekolah ini dari 2001 hingga 2006,” katanya ketika ditemui pemberita di sekolah itu hari ini.
Terdahulu Pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Che Arifin meninjau suasana hari pertama pembukaan sesi baharu persekolahan di SK Jelempok itu.
Hazwani Izzati yang menetap di Guar Sanji di sini dan mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia tiga tahun berkata Haura Aaisyah adalah seorang yang pendiam manakala Haura Awleeya lebih ceria, dan beliau berharap kedua-dua anaknya itu berjaya dalam pelajaran.
Dalam pada itu, Rose Aza berkata 46,944 pelajar direkodkan di Perlis untuk sesi baharu persekolahan tahun ini, dengan 19,962 merupakan pelajar sekolah menengah manakala 26,982 adalah murid sekolah rendah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial