AM > BERITA

Tiada Murid Cina Tahun Satu Daftar Masuk Di SJKC Kong Aik

17/02/2025 04:43 PM

ARAU, 17 Feb (Bernama) -- Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Aik di Mata Ayer di sini merekodkan tiada pendaftaran masuk murid Cina bagi Tahun Satu pada sesi baharu persekolahan 2025/2026 yang bermula hari ini.

Guru Besar SJKC Kong Aik Leong Yong Siang berkata kemasukan murid tahun satu bagi sesi baharu persekolahan itu hanya merekodkan 13 murid Melayu, sembilan murid Siam dan seorang murid India.

Beliau berkata keseluruhan murid sekolah itu kini ialah 190 orang dengan jumlah paling ramai murid Melayu iaitu 93 orang. 

"Sekolah ini mempunyai 17 tenaga pengajar termasuk tiga ustazah dan seorang ustaz yang mengajar ilmu agama kepada murid beragama Islam," katanya kepada pemberita semasa tinjauan Pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Che Arifin di sekolah itu hari ini.

Sementara itu, Rose Aza berkata trend peningkatan kemasukan murid bukan Cina ke SJKC dapat dilihat di beberapa sekolah berkenaan di Perlis termasuk SJKC Kong Aik, yang antara lain disebabkan faktor demografi dan minat ibu bapa terhadap pembelajaran Bahasa Mandarin.

"Kita dapati ada sekolah SJKC yang mempunyai lebih ramai pelajar kaum lain berbanding kaum Cina. Kelas prasekolah di SJKC Kong Aik ini turut mengajar Bahasa Mandarin menyebabkan ramai ibu bapa memilih untuk menghantar anak mereka ke sini bagi menguasai bahasa itu.  

"Pada masa sama, keadaan ini turut mencerminkan semangat perpaduan kerana terdapat juga masyarakat Cina yang menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan