SHAH ALAM, 20 Feb (Bernama) -- Projek pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) dijadualkan bermula pada akhir bulan ini dengan jangkaan siap dalam tempoh empat tahun, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini.
Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim berkata projek sepanjang 45.3 kilometer itu membabitkan skop pelebaran dengan penambahan satu lorong setiap hala bermula dari Plaza Tol Gombak, Selangor hingga Bentong, Pahang.
“Projek pelebaran KLK telah mendapat kelulusan kerajaan Persekutuan dan kerja awalan bermula pada bulan lepas dan dijangka siap pada 2029.
“Pelaksanaan projek ini bakal memberi manfaat besar kepada pengguna lebuh raya terutamanya dalam mengatasi isu kesesakan trafik serta menambah baik ciri-ciri keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Muhammad Hilman Idham (PN-Gombak Setia) berhubung pelaksanaan pembangunan KLK, di sini hari ini.
Izham berkata skop pelebaran KLK akan dilaksanakan dalam koridor atau jajaran lebuh raya sedia ada tanpa melibatkan pengambilan tanah tambahan.
Berhubung rizab lebuh raya itu di dalam Selangor, beliau berkata sebahagiannya merupakan tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).
Izham berkata syarikat konsesi KLK, AFA PRIME Berhad bersama agensi kerajaan juga telah mengenal pasti kewujudan penempatan setinggan di pinggir lebuh raya itu.
“Syarikat konsesi bersama Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) Negeri Selangor dan JPNS mengambil inisiatif untuk membuat bancian terhadap penempatan yang terkesan.
“Laporan bancian itu seterusnya akan diteliti untuk diambil tindakan lanjut selaras dengan peraturan dan garis panduan yang berkuat kuasa,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) dicadangkan supaya mempertimbangkan projek pelebaran jalan lama Gombak–Karak bagi mengatasi isu kesesakan terutama ketika musim perayaan.
Semasa sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 17 Feb lepas, Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak berharap cadangan itu dapat melancarkan pergerakan dan memberi keselesaan kepada penduduk serta pengguna.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial