SUKAN > BERITA

TFC, Kuching City Seri 2-2 Di SSMZA

22/02/2025 12:25 AM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas diikat 2-2 oleh Kuching City FC dalam aksi Liga Super 2024/2025 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam ini.

Tuan rumah memulakan perlawanan dengan garang apabila Manuel Ott meledak gol pembukaan seawal minit kesembilan menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti, sekali gus mengejutkan pasukan pelawat.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad kendalian Aidil Shahrin Sahak segera mengatur serangan balas dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-16, namun rembatan James Okwuosa tersasar ke sebelah kanan gawang.

TFC yang mendahului 1-0 terus menggandakan asakan dan berpeluang menambah jaringan pada minit ke-21, tetapi sepakan lemah Muhammad Syahmi Zamri mudah diselamatkan penjaga gol The Cats, Wan Muhammad Azraie Wan Teh.

Muhammad Syahmi sekali lagi berpeluang mencetak nama sebagai penjaring, namun dua peluang keemasan pada minit ke-44 dan ke-45 gagal dimanfaatkan.

Tuan rumah kembali menceriakan penyokong apabila Ismaheel Akinade menambah gol kedua pada minit ke-61, melebarkan kelebihan TFC kepada 2-0.

Bagaimanapun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Jordan Mintah merapatkan jurang dengan gol pertama Kuching City FC pada minit ke-64, sebelum Petrus Shitembi menyamakan kedudukan hanya dua minit kemudian.

Sementara itu, Sabah FC turut mengalami nasib sama apabila gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri selepas diikat 1-1 oleh Kuala Lumpur City FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Tuan rumah kendalian Martin Santo tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila S. Kumaahran menanduk masuk bola deras dari dalam kotak penalti, menewaskan penjaga gol pelawat, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, seawal minit ketujuh.

Kedua-dua pasukan cuba mengatur serangan, namun kelancaran permainan sedikit terjejas akibat keadaan padang yang becak selepas hujan lebat.

Pada minit ke-36, KL City FC berpeluang menyamakan kedudukan apabila dihadiahkan sepakan penalti, tetapi selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR), keputusan itu dibatalkan kerana bola didapati terkena pemain pelawat terlebih dahulu.

Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun hanya pada minit ke-81 KL City FC berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang Muhammad Haqimi Azim Rosli dari dalam kotak penalti selepas beberapa percubaan sebelumnya gagal dimanfaatkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan