KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Pelantikan 25 tokoh agama sebagai ahli Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) selaras dengan semangat kesederhanaan dan keharmonian yang menjadi asas kepada kestabilan negara.
Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Prof Madya Dr Adi Anuar Azmin berkata pelantikan wakil daripada pelbagai agama termasuk 10 wakil Islam serta agama lain, mencerminkan pendekatan inklusif dan dialog konstruktif dalam menangani isu berkaitan keharmonian antara penganut agama.
"Ini juga selaras dengan prinsip Islam yang menggalakkan sikap toleransi, hormat-menghormati dan keterbukaan dalam hubungan antara masyarakat pelbagai kepercayaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Adi Anuar berkata YADIM berpandangan bahawa usaha itu satu langkah penting dalam memupuk budaya damai dan harmoni dalam masyarakat.
Beliau berkata kewujudan JK HARMONI dapat mengukuhkan jalinan kerjasama antara pemimpin pelbagai agama serta mempromosikan pemahaman lebih mendalam terhadap nilai-nilai murni setiap kepercayaan.
Adi Anuar berkata YADIM turut menghargai kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa menekankan kepentingan perpaduan nasional dan keharmonian antara penganut agama dalam kerangka Malaysia MADANI.
"Komitmen beliau dalam memastikan keseimbangan antara kebebasan beragama dan sensitiviti masyarakat Islam di negara ini suatu langkah yang wajar dihormati dan disokong," katanya.
Sebagai sebuah institusi yang berperanan dalam menyebarluaskan dakwah Islamiah, YADIM komited untuk terus mendukung usaha memperkukuh perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.
"Kami percaya bahawa platform seperti JK HARMONI ini dapat menjadi mekanisme efektif dalam membentuk Malaysia MADANI yang utuh, berasaskan nilai-nilai kesederhanaan, keadilan, dan kesejahteraan bersama," katanya.
Seramai 25 tokoh agama dilantik sebagai ahli JK HARMONI dalam satu mesyuarat yang diadakan semalam.
Menurut jawatankuasa itu, mereka terdiri daripada 10 wakil agama Islam, empat wakil agama Buddha, empat wakil agama Kristian, dua wakil agama Hindu, satu wakil agama Sikh, dua wakil Tao, satu wakil Bahai dan wakil UNIFOR, Sarawak.
Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyeru semua pihak agar bertanggungjawab serta tidak mempolemikkan jumlah keanggotaan JK HARMONI untuk tujuan tertentu yang boleh membangkitkan kegelisahan awam, susulan hantaran di media sosial berhubung keahlian jawatankuasa berkenaan.
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata JK HARMONI bukanlah sebuah jawatankuasa baharu yang ditubuhkan sebaliknya sudah bermula sejak 14 Ogos 2020 selepas penjenamaan semula daripada Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman Antara Penganut Agama (JKMPKA) yang ditubuhkan bermula 2010 hingga 2019.
“Bilangan keanggotaan dan komposisi jawatankuasa ini adalah sama sejak Januari 2021 iaitu 10 wakil Islam dan 15 wakil bukan Islam.
“Fungsi jawatankuasa ini antaranya mencadangkan kepada kerajaan berhubung pelaksanaan strategi yang bersesuaian dan berteraskan nilai-nilai murni keagamaan demi meningkatkan kefahaman dan keharmonian mengenai kepelbagaian agama dan melaksana secara bersama aktiviti-aktiviti kesedaran serta keharmonian antara penganut agama demi manfaat masyarakat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial