AM > BERITA

Penyakit Kusta: PKD Ambil Langkah Proaktif, Lakukan Pencegahan Awal

20/02/2025 09:09 PM

KUALA PILAH, 20 Feb (Bernama) -- Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) melakukan pencegahan awal terhadap penyakit kusta menerusi saringan dan pemeriksaan terhadap penduduk di Kampung Orang Asli (KOA) Chergun dan KOA Guntur di sini, sejak Ogos lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Orang Asli Chergun, Sisah Jantan, 50, berkata petugas kesihatan juga memberikan ubatan kepada penduduk dan melakukan pemeriksaan berkala.

"Petugas kesihatan KKM (Kementerian Kesihatan) telah memberikan kami ubat, setakat ini keadaan di kampung ini terkawal. Kami juga diberikan penerangan tentang langkah pencegahan perlu diambil. Masyarakat tidak perlu bimbang, penyakit ini ada ubat dan petugas kesihatan akan melakukan pemeriksaan berkala.

"Kes ini pertama berlaku di sini, kami telah melakukan dua kali saringan iaitu pada Ogos tahun lepas dan minggu lepas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagi Pengerusi JPKK Kampung Orang Asli Guntur, Adnan Sulak, 59, berkata hampir semua daripada kira-kira 400 penduduk kampung itu telah menjalani pemeriksaan serta saringan seperti diarahkan oleh KKM.

"Bagi penduduk tidak dijangkiti, kami diberikan ubat pencegahan bermula pada Ogos tahun lepas. Pemeriksaan secara berterusan dan pemantauan sentiasa dilakukan. Kami berasa kecewa ramai buat sebaran tidak benar berhubung penyakit ini, ia menjejaskan penduduk yang bekerja di luar," katanya. 

Adnan berharap perkara ini tidak berlarutan dan penduduk kampung sedia menunggu arahan seterusnya daripada pihak KKM dan memberikan kerjasama sepenuhnya.

Media semalam melaporan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dari Kampung Orang Asli Chergun, Kuala Pilah disahkan meninggal dunia pada Isnin akibat penyakit kusta, manakala lapan lagi individu sedang dirawat. 

Menurut laporan itu, kes berkenaan mula dikesan pada 2 Jan lepas membabitkan sembilan penduduk Orang Asli dari Kampung Chergun dan Guntur.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata sebarang aktiviti keluar masuk di dua kampung berkenaan tidak digalakkan bagi memastikan tiada penularan luar berlaku.

Beliau berharap masyarakat dapat bersama-sama membasmi penyakit ini daripada merebak dan memberikan sokongan moral kepada penduduk terkesan.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penduduk yang belum membuat pemeriksaan akan menjalani saringan pada Sabtu ini.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan