GEORGE TOWN, 21 Feb (Bernama) -- Lima premis makanan di kawasan Bandar Baru Air Itam di sini diarah tutup oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berikutan penemuan urungan lipas dan najis tikus serta faktor kebersihan kurang memuaskan.
MBPP dalam kenyataan memaklumkan kesemua kedai makanan itu diarah tutup 14 hari bermula semalam selepas pihaknya menjalankan operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang.
"Operasi dijalankan bermula 10 pagi dan tindakan penguatkuasaan ini adalah mengikut 38(1) Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan MPPP 1991.
"Selain itu, pemeriksaan mendapati satu daripada lima premis makanan ini tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah dikeluarkan oleh MBPP," menurut kenyataan itu di Facebook hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan JIM Pulau Pinang turut menahan 19 warga asing iaitu 14 wanita dan lima lelaki yang bekerja sebagai pembantu kedai makanan kerana pelbagai kesalahan, antaranya tiada dokumen perjalanan yang sah, menyalahguna pas lawatan sosial dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
MBPP akan terus menjalankan kerjasama dan operasi bersepadu dengan pihak JIMPP bagi semua aktiviti perniagaan yang melibatkan peniaga atau pekerja warga asing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial